Thursday, August 12, 2010

Wajib sambung tugas rasul



SETIAP kita kena berdakwah untuk mengajak manusia kepada Islam. Islam itu agama dakwah seperti Rasulullah pernah lakukan.
Kekuatan kita dan umat Islam zaman berzaman terletak di atas kesungguhan berdakwah untuk menyelamatkan orang daripada azab Allah.

Apabila kita tidak buat usaha dakwah dan sibuk dengan mencari harta dunia, maka agama lain akan datang termasuk Kristian dan agama sesat baru muncul serta menyesatkan manusia.

Kristian sebenarnya adalah agama yang sudah habis tempoh laku (expiry date). Bagaimanapun, kerana pendakwah Kristian tekun dan bersungguh-sungguh melaksanakan usaha mereka, agama itu seolah-olah lebih hebat dari Islam.

Apabila kita cuma amalkan Islam secara sendirian dan bukannya secara berjemaah seperti diamalkan Rasulullah s.a.w. dan sahabatnya selagi itulah misi Kristianisasi akan menyerang kita.

Kita kena melihat dakwah sebagai tugas terhormat untuk kita semua menjadi mulia di sisi Allah. Dakwah, satu kalimah yang mungkin selalu kita dengar dalam kehidupan kita sehari-hari.
 
Mungkin ketika berbual dengan kawan di pejabat, atau dalam tazkirah di masjid dan surau. Apabila ditanya kepada masyarakat kebanyakan berkenaan pengertian dakwah, pelbagai versi pengertian dakwah akan diberi mengikut pemahaman masing-masing.

Ada yang mengertikan dakwah dengan kerja mengajak orang jadi baik saja ataupun ajak orang pergi masjid semata-mata.
Ada juga yang memberi pengertian bahawa dakwah ini adalah kerja untuk mengajak kepada yang makruf dan membanteras kemungkaran.

Ada juga yang faham dakwah adalah hak milik eksklusif ustaz yang mengajar di masjid saja, tak perlulah bukan ustaz atau bukan budak sekolah agama hendak menyibuk dalam urusan dakwah.

Ada juga yang berpendapat tidak payahlah aku ini nak penat-penat masuk kumpulan dakwah atau fikir pasal dakwah, cukuplah asal aku dan keluarga aku jadi baik, aku boleh pergi masjid lima kali sehari semalam, boleh ajar anak aku mengaji, Ramadan boleh puasa lepas tu bayar zakat dan kalau ada duit lebih sikit pergi buat haji serta umrah.

Percaya atau tidak, kebanyakan masyarakat Muslim hari ini mempunyai minda yang macam itu ataupun lebih kurang macam itu. Eh, salah ke?

Nanti dulu, kefahaman dakwah itu bukan boleh main agak-agak macam itu saja. Bukan isu remeh-temeh dan ranting, tapi dakwah ini satu tugas besar yang diwarisi daripada nabi sejak zaman-berzaman lagi.

Kalau risalah ini dibawa nabi, maknanya ia memang perkara yang sangat penting untuk kehidupan manusia. Cuba kita kaji betul-betul apa yang dibawa nabi dari dahulu sampai sekarang? Adakah sekadar hendak ajak kawan jadi baik saja?

Rasa-rasanya kalaulah risalah yang dibawa Rasulullah sekadar hendak ajak orang jadi baik saja maka tidak perlulah Rasulullah serta sahabat bersusah-payah berjuang hingga sampai kena bina negara.

Tidak berhenti setakat itu saja, risalah kemudian disampaikan ke segenap pelosok muka bumi oleh sahabat dan tabiin hingga ke China.

Dakwah adalah satu usaha secara tersusun untuk menyampaikan Islam dan menegakkan ketuanan Islam di muka bumi ini supaya semua manusia dapat menikmati keindahan Islam dan bebas dari perhambaan sesama manusia.

Tugas dakwah tidak terhad kepada keluarga kita semata-mata bahkan melangkau jauh sempadan geografi setiap negara.

Ia adalah tugas global apabila kita yang bertuah dilahirkan sebagai umat Islam dan setiap orang daripada kita bertanggungjawab untuk tugas dakwah terbabit.

Ia bukan tanggungjawab ustaz semata-mata, bahkan kita akan dipertanggungjawabkan atas urusan berkenaan.

Mengapa kita perlu berdakwah? Sebab Islam itu adalah agama yang sempurna dan kita wajib untuk berkongsi nikmat kesempurnaan itu dengan semua manusia.

Sebab itulah kita perlu bekerja bersungguh-sungguh. Apabila Islam tertegak di atas muka bumi dan memerintah bumi ini, aman dan makmurlah segala-galanya, ekosistem kembali seimbang dan dunia akan menjadi tempat paling baik untuk didiami.

Faham tak sekarang mengapa kita perlu berdakwah? Tapi persoalannya macam mana hendak memulakan dakwah? Macam mana, kita akan bincangkan dalam artikel yang akan datang

Marilah sama-sama membabitkan diri kita bersama mereka yang dipilih Allah untuk menjadi penyambung tugas nabi.

Sumber: Harian Metro
tazkirah ustaz Mohd Zawawi Yusoh
2010/04/23

No comments:

Post a Comment

Kata Hikmah

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia kepada-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya.

Tiada seorang pun daripada hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu lebih Aku cintai daripada ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya.Di samping itu, hendaklah sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga aku mencintainya.

Apabila Aku sudah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya; sebagai penglihatan yang ia melihat dengannya; sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya.

Seandainya ia memohon (sesuatu) daripada-Ku pasti akan Aku terima; dan seandainya (pula) ia memohon perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Followers

About Me

My photo
Nama Mohammad Faiz Bin Md Nor,Berasal dari Negeri Sembilan,menetap di Seremban,lahir pada 11 march 1988,bersekolah dahulu di Sekolah rendah kebangsaan Senawang,sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar,Tingkatan 6 di Sekolah Menegah Kebangsaan Seri Pagi dan pernah menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang sejarah...