Wednesday, December 29, 2010

al-Quran dibaca, diamalkan

TANPA sebarang keraguan, al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang terkandung pelbagai khazanah ilmu bagi manfaat manusia.Firman Allah yang bermaksud: "Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)." (Surah al-Ma'idah ayat 48)

Kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, hanya boleh dicapai jika manusia berpegang kepada kandungan al-Quran. Perkara ini dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: "Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya dan Rasul-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 285)

Al-Quran kekal terpelihara daripada sebarang bentuk perubahan hingga hari kiamat.Melihat kepada keistimewaan al-Quran, umat Islam perlu menjunjung ketinggian martabat kitab suci itu, semua haknya perlu ditunaikan. Antara hak al-Quran ialah untuk diimani, dibaca, dihafal, difahami, diamalkan dan hak untuk disebarkan isi kandungannya. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran, dan Kami-lah yang memelihara dan menjaganya." (Surah al-Hijr, ayat 9).


Al-Quran perlu diimani kerana menolak al-Quran sehingga meragui isi kandungannya akan membuatkan umat Islam tercampak ke lembah kekufuran. Keimanan terhadap al-Quran turut berkait dengan keimanan kepada Rasulullah yang dipilih sebagai Rasul akhir zaman dan menyampaikan ajaran Islam seperti mana yang termaktub di dalam al-Quran.

Selain itu, hak al-Quran untuk dibaca. Adakah kita membaca al-Quran setiap hari? Pernahkah kita memperuntukkan masa untuk membaca dan memahami al-Quran? Berapa ramai generasi muda hari ini tidak tahu membaca al-Quran?

Jauhnya umat Islam daripada al-Quran akan menutup pintu rahmat dan keberkatan Allah dalam kehidupan mereka. Malah, hakikatnya al-Quran bakal memberi syafaat buat umat Islam di akhirat kelak. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Bacalah al-Quran, kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada pembacanya." (Hadis riwayat Muslim)

Kemudian hak al-Quran hak untuk dihafal. Terlalu banyak ganjaran bagi mereka yang mampu menempatkan ayat al-Quran dalam hati mereka. Jika al-Quran sudah terpahat dalam hati, maka diri akan sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk kemungkaran dan kemaksiatan. Rasulullah pernah memberi perumpamaan yang buruk bagi mereka yang tidak mempunyai al-Quran dalam hatinya.Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya tidak ada al-Quran sama sekali, tidak ubah seperti sebuah rumah yang rosak." (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Ahmad, al-Hakim, dan al-Darimi)

Hak al-Quran yang keempat ialah hak untuk difahami. Sesungguhnya inti pati al-Quran tidak akan dapat dibongkar jika umat Islam gagal memahami isi kandungan al-Quran. Pemahaman isi kandungan al-Quran boleh diperoleh menerusi kupasan tafsiran al-Quran di pelbagai media.Penguasaan bahasa Arab juga perlu diusahakan bagi memahami isi kandungan al-Quran.


Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Pelajarilah al-Quran dan bacalah, serta tidurlah kalian. Sebab perumpamaan al-Quran dan orang yang mempelajarinya kemudian ia mahu membacanya, ibarat satu bejana yang penuh berisi minyak wangi yang baunya semerbak di merata tempat. Sedangkan perumpamaan orang yang mempelajari al-Quran, tetapi ia tidur sahaja, al-Quran hanya di dadanya sahaja (tidak dibaca); maka hal itu ibarat bejana yang berisi minyak wangi, tetapi tutupnya diikat rapat-rapat." (Hadis riwayat Ibnu Majah, al-Tirmidzi, al-Nasa'i, dan Ibnu Hibban)

Al-Quran mempunyai hak untuk diamalkan. Berdosa jika mengetahui isi al-Quran, namun tidak mengamalkannya. Jika al-Quran tidak dipelihara atau diamalkan, ia bakal mengheret Muslim ke pintu neraka. Berbahagialah bagi mereka yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Orang Mukmin yang membaca al-Quran dan mengamalkan isinya, ibarat buah yang manis, rasanya enak dan baunya harum." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi, dan lain-lain)

Hak al-Quran yang terakhir ialah untuk disebarkan isi kandungannya. Perkara itu menjadi perjuangan Rasulullah ketika hayatnya yang diteruskan salaf al-salih dan golongan ilmuan Islam. Hakikatnya, ia membuktikan Islam cintakan ilmu dan menggalakkan budaya ilmu disuburkan untuk faedah umat manusia.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling baik antara kalian adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Darimi)

Petua capai doa mustajab

BERIKUT antara sembilan petua daripada Rasulullah untuk mencapai doa mustajab:

1. Anas bin Malik meriwayat kan bahawa Rasulullah bersabda: “Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.”

2. Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir seraya berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya.”


3. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.”

4. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.”

5. Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. “Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan.”

6. Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. “Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah.”

7. Ata bin Abi Rabah berkata: “Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.”

8. Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: ‘Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.’”

9. Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: “Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.”

Sumber:harian Metro

Solat Tahajud

TIDAK dapat dinafikan tidur adalah satu amalan yang perlu dan pasti bagi setiap insan yang menghuni alam yang fana ini. Manusia bukannya enjin. Ia tidak dapat bekerja tanpa rehat. Enjin boleh digerakkan tanpa rehat selagi perkara yang diperlukan olehnya seperti minyak dan sebagainya dapat kita penuhi.

Manusia walau pun mendapat cukup makan dan minum akan merasa penat sekiranya bekerja terus menerus tanpa rehat. Tanpa rehat, tenaga manusia akan terus berkurangan. Cara berehat sebaik-baiknya bagi manusia bukanlah dengan berhenti bekerja, tetapi dengan tidur. Melalui tidur tenaga manusia yang digunakan semasa bekerja dapat dipulihkan kembali kerana pada waktu tidurlah segala anggota yang diguna untuk bekerja berhenti daripada tugasnya. Pentingnya tidur dan waktu rehat itu diakui Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: “Allahlah yang membelah Subuh dan yang menjadikan malam untuk rehat dan menjadikan matahari dan bulan untuk menjadi sumber segala perhitungan. Inilah ketentuan yang Maha Kuasa dan Yang Maha Mengetahui.” (Surah Al- An’am ayat 96) Walaupun dalam ayat di atas Allah menyatakan malam untuk berehat, sebagai hamba Allah tidak seharusnya menggunakan waktu malam itu untuk tidur semata-mata.


Kita seharusnya ingat dan sedar kepada motif dan tujuan Allah menjadikan manusia. Motif Allah menjadikan manusia jelas dinyatakan dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat menyembah-Ku.” (Surah Az-Dzaariyaat ayat 56) Daripada ayat di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bagaimana kita harus menggunakan waktu malam. Jika pada siang kita menggunakan kira-kira 100 peratus masa untuk kerja dunia, pada waktu malam biarlah kita peruntukkan sebahagiannya untuk berhubung dengan Allah.


Dan cara yang sebaik-baiknya untuk berhubungan dengan Allah ialah bangun mengerjakan solat Tahajud atau sembahyang tengah malam. Sesungguhnya, bangun di tengah malam untuk bertahajud banyak kelebihan dan besar pahalanya. Ini jelas dari Firman Allah yang bermaksud: “Dan dari malam itu hendaklah engkau bangun Tahajud sebagai nafilah (ibadat tambahan) bagimu. Moga- moga Allah akan mengangkat mu ke tingkat yang terpuji.” (Surah Al-Israk ayat 79) Amalan untuk bangun bertahajud adalah satu perbuatan yang amat berat untuk mengerjakannya.


Keadaan tubuh yang letih dan lesu menyebabkan sesetengah orang itu tidur seperti mati tidak sedarkan diri lagi walau pun puas dikejutkan. Matanya akan bertambah mengantuk dan tubuhnya bertambah penat apabila mereka tidur lewat kerana asyik menonton televisyen. Keadaan sejuk dan suasana sepi di tengah malam juga menjadi faktor seseorang nyenyak tidur dan merasa keberatan untuk berhubungan dengan Allah.


Satu persoalan yang boleh diketengahkan di sini ialah mengapakah Allah meletakkan waktu sembahyang Tahajud itu di tengah malam ketika suasana sunyi sepi dan penuh kesejukan?

Jawapannya ialah untuk menguji sejauh manakah taatnya seseorang makhluk yang mengaku dirinya bertuhankan Allah.


Manusia yang betul-betul yakin dan patuh kepada Allah tidak akan keberatan bangun di tengah malam untuk bertahajud.

Sesungguhnya sembahyang Tahajud satu daripada sembahyang sunat saja. Tetapi sembahyang ini mempunyai nilai dan kedudukan yang tinggi sekali berbanding dengan sembahyang sunat lain.


Rasulullah bersabda: “Hendaklah kamu Qiamullail (solat malam) kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi) Tetapi sedikit sekali umat manusia yang mengaku dirinya beragama Islam ini sanggup dan bersedia melakukan sembahyang Tahajud walaupun mereka sedar tingginya kedudukan dan nilai solat berkenaan.


Sesungguhnya manusia akan berlumba-lumba melakukan Tahajud jika dapat merasa betapa sedap dan nikmatnya melakukan amalan itu. Kenyataan itu membuktikan bahawa peminat bola sepak akan bangun jam 2 pagi untuk menonton tayangan siaran secara langsung walau pun hanya keseorangan. Ini adalah lantaran perasaan dan dorongan minatnya yang berkobar-kobar. Pada hal ulangan tayangan kepada perlawanan itu biasanya akan dibuat pada waktu siang beberapa hari kemudiannya.


Tidak bolehkah perbuatan yang sama kita lakukan untuk bersembahyang Tahajud? Kita merasa keberatan untuk bangun melakukan sembahyang tersebut kerana kita tidak dapat merasai betapa lazat dan nikmatnya sembahyang Tahajud.


Keheningan malam seolah-olah akan memberi kesempatan untuk merapatkan jurang perhubungan antara makhluk dengan khaliq. Apa yang dibaca oleh seseorang ketika bersembahyang itu seolah-olah didengar dan mendapat layanan daripada Allah Yang Maha Kuasa. Biasanya permohonan seseorang untuk mendapat sesuatu itu cepat diterima dan dilayan apabila tidak ramai yang memohonnya.


Oleh itu mohonlah keampunan dan limpahan dari Allah ketika orang lain sedang nye nyak tidur. Berhubunglah dengan Allah ketika peluang masih ada, umur masih muda dan pintu taubat masih terbuka. Insya-Allah kita akan mendapat limpahan rahmat daripada Allah.

Sumber:harian metro

Kata Hikmah

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia kepada-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya.

Tiada seorang pun daripada hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu lebih Aku cintai daripada ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya.Di samping itu, hendaklah sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga aku mencintainya.

Apabila Aku sudah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya; sebagai penglihatan yang ia melihat dengannya; sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya.

Seandainya ia memohon (sesuatu) daripada-Ku pasti akan Aku terima; dan seandainya (pula) ia memohon perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Followers

About Me

My photo
Nama Mohammad Faiz Bin Md Nor,Berasal dari Negeri Sembilan,menetap di Seremban,lahir pada 11 march 1988,bersekolah dahulu di Sekolah rendah kebangsaan Senawang,sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar,Tingkatan 6 di Sekolah Menegah Kebangsaan Seri Pagi dan pernah menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang sejarah...