Monday, July 26, 2010

Iblis Dan Ahli Neraka

DALAM sebuah hadith diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai di neraka, maka di situ disediakan sebuah mimbar dari api, dipakaikan pakaian dari api, bermahkota dari api dan diikat iblis itu dengan tali dari api.

Kemudian dikatakan kepada Iblis laknat: “Wahai Iblis, naiklah kamu ke atas mimbar dan bersyarahlah kamu kepada penghuni neraka.”

Setelah Iblis menerima arahan maka dia pun naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai para penghuni neraka.” Semua orang yang berada dalam neraka mendengar akan ucapannya dan memandang mereka kepada ketua mereka iaitu Iblis.

Kata Iblis: “Wahai orang-orang yang kafir dan orang-orang munafiq, sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan kepadamu dengan janji yang benar bahawa kamu semua itu mati dan akan dihalau dan akan dihisab dan akan menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan ke syurga dan satu kumpulan ke neraka Sa’ir.”

Berkata Iblis lagi: “Kamu semua menyangka bahawa kamu semua tidak akan meninggalkan dunia bahkan kamu semua menyangka akan tetap berada di dunia. Tidaklah ada bagiku kekuasaan di atasmu melainkan aku hanya mengganggu kamu semua. akhirnya kamu semua mengikuti aku, maka dosanya adalah untuk kamu.

Oleh itu janganlah kamu mengumpat aku, mencaci aku, sebaliknya umpatlah dari kamu sendiri, kerana sesungguhnya kamu sendirilah yang lebih berhak mengumpat daripada aku yang mengumpat.”

Berkata Iblis lagi: Mengapakah kamu tidak mahu menyembah Allah SWT sedangkan dia Allah yang menciptakan segala sesuatu?”

Akhirnya Iblis berkata: “Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua dari seksa Allah, dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya pada hari aku telah terlepas dari apa yang telah aku katakan kepada kamu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari keharibaan Tuhan seru sekalian Alam.”

Setelah mereka (ahli neraka) mendengar kata-kata Iblis itu maka mereka melaknati Iblis itu. Setelah itu Iblis dipukul oleh Malaikat Zabaniah dengan tombak dari api dan jatuhlah dia ke tempat yang paling bawah, dia kekal selama-lamanya bersama-sama dengan orang-orang yang menjadi pengikutnya dalam neraka.

Malaikat Zabaniah berkata: “Tidak ada kematian bagi kamu semua dan tidak ada pula bagimu kesenangan, kamu kekal di dalam buat selama-lamanya.”

Janganlah kita menjadi orang yang bodoh apabila kita tahu bahawa Iblis itu hanya menipu kita, Iblis itu adalah musuh ketat kita. Oleh itu janganlah sekali-kali kita ikut menjadi ahli keluarganya, selagi kita bernafas cepatlah kita kembali ke pangkal jalan kalau nafas sudah berhenti maka segala-galanya tidak berguna lagi.


Mereka yang mencabar kekuasaan Allah SWT dengan berketuakan Iblis dan Syaitan adalah mereka ini dikenali sebagai kaki bohong, kaki pencuri, kaki judi, kaki arak, kaki maksiat dan sebagainya. bagi mereka ini setiap yang sama dengan mereka adalah ahli atau kakitangan Iblis. Kerja mereka adalah menjatuhkan maruah mereka sendiri dan menghancurkan Islam.

Orang yang takut kepada Allah SWT adalah mereka ini disebut orang yang sentiasa mengerjakan suruhannya, amanah,bercakap benar,bersopan santun, baik akhlaknya, menjauhi dosa, menjauhi perkara yang tidak bermanfaat kepadanya dan menganggap semua orang Islam itu sebagai saudaranya.

Mereka yang takut kepada Allah SWT adalah orang yang akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat, oleh itu sembahlah hanya kepada Allah.

Thursday, July 15, 2010

Ilmu mantapkan jati diri

Belia ada wawasan jadi pemimpin masa depan sentiasa bijak mendepani cabaran zaman remaja


TANPA ilmu dan bimbingan, mustahil generasi muda mampu menerajui diri sendiri untuk menjadi insan terbilang yang bukan saja dibanggakan kerana kebijaksanaan, kecerdasan akalnya tetapi juga sahsiah mulia dan fizikal kuat.

Lebih-lebih lagi cabaran hari ini tidak setara dengan kesediaan ibu bapa dan pendidik dalam menghadapi segala kemungkinan mendatang sehingga ada kalanya kita kelihatan lesu mencari punca sedangkan masalah semakin meruncing serta tidak terbendung. Generasi muda yang dipandang hebat ialah yang perkasa fizikal serta minda. Urusannya dengan Allah, manusia dan alam dijalankan penuh tanggungjawab. Lebih hebat, yang menyedari kepentingan ilmu untuk terus menyedarkan umat Islam supaya hidup dalam landasan agama.

Syarat generasi muda kini untuk menjadi seorang hebat ialah mesti berilmu dan mempunyai hikmah dalam tindak-tanduknya. Mereka juga perlu adil iaitu amanah terhadap tanggungjawabnya kepada Allah, manusia dan alam.

Mereka juga mesti berani kerana mereka tidak akan berjaya jika tidak memulakan sesuatu tanpa gerun atau sanggup gagal. Jika berjaya, tentu mereka akan memulakan langkah pertama untuk mencipta kejayaan lain yang akan jadi ikutan golongan muda yang memerlukan contoh terbaik.

Tanpa keberanian, orang muda tidak akan mempunyai cita-cita. Sedangkan, impian dalam hidup adalah angan-angan yang memungkinkan kejayaan lebih besar. Cita-cita boleh merubah kehidupan dan menjadikan seseorang berjasa kepada agama dan negara.
Namun, cita-cita perlukan hasrat dan tekad tidak terhingga, azam dan sokongan berterusan. Jika tiada seperti disebutkan, orang muda tetap boleh berjaya dengan izin-Nya dengan yakin kuasa Allah dan sifat pengasih serta pemurah-Nya.

Segelintir generasi muda kini menjadi beban kepada agama dan negara. Mereka tidak mempedulikan ilmu, menjauhi suruhan agama dan mempersendakan hukum yang mengikat mereka sebagai individu Muslim.

Entah di mana silapnya, orang muda bencikan cara hidup Islam. Hidup melangkaui akhlak dan sahsiah, malah mempercayai amalan tahyul serta khurafat yang begitu mudah meresapi minda sehingga menjadikan tukang tilik dan nujum sebagai guru.

Bukan tidak cukup ilmu boleh dipelajari secara percuma. Malah hari ini sesiapa yang mahu, ilmu boleh diraih di mana saja dan mungkin kerana terlalu mudah, ilmu tidak dihargai menyebabkan sukar mencari generasi muda yang bersusah payah menelan keperitan untuk menuntut ilmu.

Kebanyakan adalah mereka yang mempertaruhkan kehidupan sosial di luar batasan hukum, terkinja-kinja di pentas nyanyian dan sanggup melondeh pakaian dalam adegan lakonan untuk merubah kehidupan.

Ibu bapa yang mempunyai anak remaja harus sentiasa belajar dan mempertingkatkan komitmen untuk membimbing anak mengikut ajaran agama. Dosa dan pahala harus menjadi zikir yang basah di bibir mereka supaya anak sentiasa diingatkan supaya tidak menggadaikan agama.

Bukan semua orang muda tidak tahu masa depan generasi akan datang bergantung kepada urusan dunia yang mereka tangani hari ini. Bukan semua juga jahil bahawa masa muda hanya sekejap, jangan sampai waktu muda merosakkan seluruh usia kehidupan mereka.

Ramai juga terpesong ke jalan yang lain kerana orang muda tidak ‘dipaksa’ menjadi orang selayaknya. Justeru, orang muda perlulah mengatur langkah memajukan diri untuk agama, bangsa dan negara.

Mereka juga perlu setia kepada pemimpin yang tidak menyuruh melakukan maksiat. Perlu diingat, generasi akan datang pasti muncul bersama ‘zaman mudanya’ dan biarlah zaman itu, masa yang terbaik untuk mereka membina jati diri.



Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia.

Wednesday, July 14, 2010

Wasiat Imam Syafie

Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dengan selamat hendaklah dia mengamalkan 10 perkara berikut :

Pertama :
Hak Kepada Diri iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

Kedua :
Hak Kepada Malaikat Maut iaitu mengaqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan daripada orang yang dizalimi, membuat persediaan bagi mati dan merasa cinta kepada Allah

Ketiga :
Hak Kepada Kubur iaitu membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

Keempat :
Hak Kepada Munkar Nakir iaitu tidak berdusta, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

Kelima :
Hak Kepada Mizan iaitu menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan

Keenam :
Hak Kepada Sirat
iaitu membuang tabiat suka mengumpat, wara', suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

Ketujuh :
Hak Kepada Malik iaitu banyak menangis kerana takut kepada azab Allah, berbuat baik kepada kedua ibubapa, bersedekah ketika terang dan sembunyi dan memperelokkan akhlak.

Kelapan :
Hak Kepada Ridhwan iaitu merasa redha kepada qadha Allah, bersabar menerima bala, bersyukur kepada nikmat Allah dan bertaubat daripada maksiat.

Kesembilan :
Hak Kepada Rasulullah SAW
iaitu berselawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung dengan Sunnah, menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan daripada Allah SWT.

Kesepuluh :
Hak Kepada Allah SWT iaitu mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.


Monday, July 12, 2010

Penyakit Hati

Antara tanda penyakit hati tidak boleh dikesan sesiapa pun adalah:

1) Malas melakukan ketaatan dan amal kebaikan.
Malas menjalankan ibadah, bahkan meremehkannya pula. Contohnya melakukan solat bukan dengan "sengaja' tetapi dengan tidak sengaja dan terpaksa.


Kalau buat pun tidak khusyuk dan ada kesungguhan. Mereka merasa berat untuk menjalankan ibadah sunnah. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan mereka tidak mengerjakan solat, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah at-Taubah ayat 54).

2) Tidak tersentuh ayat al-Quran
Ketika disampaikan ayat berkenaan janji dan ancaman Allah, maka tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyu atau tunduk dari membaca al-Quran dan mendengarnya.


Sedangkan Allah memperingatkan dalam al-Quran yang bermaksud: "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut kepada ancaman-Ku." (Surah Qaaf ayat 45).

3) Tidak tersentuh dengan ayat kauniyah
Tidak tergerak dengan adanya peristiwa yang dapat memberikan pelajaran seperti kematian, sakit, bencana. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai sesuatu yang tidak kaitan dengannya. Nabi bersabda yang bermaksud: "Cukuplah kematian itu sebagai nasihat dan peringatan".

4) Berlebihan mencintai dunia serta melupakan akhirat
Himmah dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata. Segala sesuatu diperhitung, dikira berasaskan dunia. Cinta, benci dan hubungan dengan sesama manusia hanya untuk urusan dunia saja seolah hidup hanya untuk dunia dan berakhir di dunia .

5) Berkawan dengan orang yang melakukan maksiat
Ini salah satu sebab terbesar yang mempengaruhi kerasnya hati seseorang. Orang yang hidupnya di tengah gelombang kemaksiatan dan kemungkaran, bergaul dengan manusia yang banyak berkubang dalam dosa, banyak bergurau dan tertawa tanpa batasan, banyak mendengar muzik yang melalaikan serta menghabiskan harinya untuk tujuan maksiat.

6) Kemaksiatan berantai
Penyakit hati lahir dari kemaksiatan baru akibat kemaksiatan yang dilakukan sebelumnya sehingga menjadi lingkaran syaitan yang sangat sukar bagi seseorang itu melepaskan dirinya.

7) Meremehkan dosa kecil
Memang ada dosa kecil dan besar, tetapi perlu diingat semua dosa akan membawa ke neraka. Seperkara lagi, kita perlu faham dosa besar bermula dengan dosa kecil, banjir besar bermula dari titis hujan.

8) Tidak peduli sumber makanan
Orang yang hatinya berpenyakit dan keras ini biasanya kurang prihatin dengan sumber makanan, halal atau haram. Begitu juga dengan syubhat, yang dia kira sedap dan enak, selera kena tinggi. Makan di mana pun tidak kira kedai orang Islam atau bukan Islam yang penting kaw dan kaw. Begitu juga dengan punca pendapatan, sudah tidak peduli lagi sumber rezeki datang dari mana kerana yang pasti dapat banyak, hidup kaya raya. Rasuah, curi, seludup, ampu ke semua dibedal.


Itu antara beberapa tanda yang sempat dibicarakan dalam ruangan ini dan harapnya ia dapat menambah maklumat kita semua. Mengenai cara mengatasi dan merawatnya Insya-Allah pada masa akan datang.

Bersin dan bahana menguap tanpa tutup mulut

ANAS bin Malik RA bercerita, ada dua orang bersin dekat Nabi Muhammad SAW. Baginda mendoakan (tasymit) seorang daripada keduanya, namun tidak mendoakan seorang yang lain. Ditanya alasannya, Rasulullah menjawab: "Sebab yang seorang mengucapkan 'alhamdulillah', sedangkan yang seorang lagi tidak membacanya." (Hadis riwayat Bukhari).

Jadi orang bersin dan tidak membaca alhamdulillah tidak layak didoakan kerana tidak bersyukur nikmat yang Allah SWT kurniakan. Pada hal bersin termasuk antara nikmat daripada Allah yang manfaatnya sangat besar dan mustajab.

Menurut Ibnu Qaiyyim, bersin dapat mengeluarkan wap dari dalam otak yang jika dibiarkan (tidak dimanfaatkan) akan berbahaya. (Kitab Zadul Ma'ad). Bersin adalah mekanisme pertahanan tubuh untuk mencegah masuknya zat luar ke dalam tubuh. Ketika bersin, udara kotor keluar dengan keras melalui hidung dan mulut berkecepatan sekitar 161 kilometer/jam.

Dr Michael Roizen, pegawai kesihatan Cleveland Clinics menegaskan, bersin kegiatan positif kerana berfungsi membersihkan faring (rongga antara hidung, mulut, dan tenggorakan). Dalam Syarh Riyadhus Salihin, Syeikh Usaimin mengutarakan, bersin dapat menggiatkan otak dan meringankan tubuh.

Untuk itulah, setelah bersin, dengan membaca hamdalah, sebagai bukti bersyukur kepada Allah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Jika seorang di antara kamu bersin, ucapkanlah ‘alhamdulillah’ (segala puji bagi Allah). Di samping itu orang yang mendengarnya mendoakan dengan ucapan ‘yarhamukallah’ (semoga Allah merahmatimu), orang yang bersin tadi membaca doa ‘yahdikumullahu wa yusilhu balakum’ (semoga Allah memberikan hidayah dan memperbaiki keadaanmu. (Hadis riwayat Bukhari).

Bacaan hamdalah adalah doa paling utama. Imam al-Sindi menyatakan, hamdalah mengandungi pengertian dua jenis (fungsi) doa, iaitu menyanjung dan mengingat Allah SWT (zikir), serta mengajukan permohonan agar nikmat ditambah.

Dengan berzikir saja, Allah menjamin akan memperbaiki lebih daripada diminta. Firman-Nya dalam hadis Qusi bermaksud : “Siapa yang lebih sibuk megingati-Ku (berzikir) daripada meminta sesuatu kepada-Ku, ia akan Aku berikan sesuatu melebihi orang yang memohon.”

Lain bersin, lain pula menguap (tatha'ub) bererti layu dan malas. Menguap terjadi kerana minimumnya oksigen dalam tubuh. Biasanya, orang menguap apabila tubuh lelah, malas, bosan, atau mengantuk. Nabi SAW bersabda bermaksud: “Menguap itu daripada syaitan. Oleh itu jika menguap, tahanlah sedapat mungkin. Sebab jika orang menguap hingga terucap ‘ha’ , syaitan tertawa menyaksikannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Sesetengah orang apabila menguap, ia tidak menutupi mulutnya, syaitan amat menyukai yang demikian, di samping itu juga virus akan keluar dari mulut seseorang yang boleh menyebarkan penyakit.

Syaitan tertawa gembira dengan tabiat demikian, kerana menyukai kemalasan dan kedunguan, sedangkan agama sangat anti dengan kemalasan dan menganjurkan umatnya untuk giat bekerja dan beramal. Nabi SAW pun selalu berlindung daripada sifat kemalasan dan unsur yang negatif.

Sunnahnya orang bersin merendahkan suaranya. Faedahnya ialah ketika orang bersin kebanyakannya membuat suara tinggi yang boleh mengganggu, maka disunnahkan baginya untuk merendahkan suaranya dengan meletakkan tangannya atau pakaiannya ke wajahnya.

Abu Hanifah meriwayatkan: “Bahawa Nabi SAW apabila bersin Baginda menutup wajahnya dengan tangan atau pakaiannya dan dengan demikian Baginda merendahkan suaranya.” Abu Hurairah berkata: “Doakan saudaramu yang bersin sebanyak tiga kali, kalau lebih daripada tiga maka dia sedang flu (selesema).”

Dalam hadis yang disebutkan Abu Musa al-Asya'ari pula, berkata: “Seorang Yahudi bersin di sisi Rasulullah, dia berharap agar Nabi mengucapkan untuknya yarhamukallah, namun yang Nabi ucapkan adalah: ‘yahdikumullah wa yuslihu balakum.’”

Berdasarkan hadis ini boleh mendoakan ahlu zimmah, apabila mereka bertahmid setelah bersin, dengan doa hidayah dan taufik kepada keimanan, dan tidak mendoakan mereka dengan rahmat.

dan maghfirah, kerana mereka tidak sesuai untuk doa itu, manakala orang yang bersin di dalam solat boleh bertahmid kepada Allah, namun tidak boleh bagi orang yang mendengarnya mendoakannya dengan mengucapkan yarhakumullah.

Adalah perkara yang diperintahkan dan disunnahkan, dan termasuk perkara kesempurnaan agama dengan mensyariatkan kepada mereka doa yang mereka ucapkan setelah bersin, yang mana ia adalah nikmat Allah atas mereka. Maka dengan bersin itu mereka saling mendoakan rahmat dan memohon kepada Allah hidayah dan baik keadaannya.

Dari al-Barra' bin 'Azib, dia berkata: “Nabi memerintahkan kepada kami dengan tujuh perkara dan melarang kami dari tujuh perkara, maka Baginda menyebutkan, menjenguk orang sakit, mengikuti jenazah, mendoakan orang bersin, membalas salam, menolong orang yang dizalimi, memenuhi jemputan, dan memperhatikan keinginan orang yang bersumpah.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim).

Sunday, July 11, 2010

Kehidupan di Dunia ini

Jabir bin Abdullah berkata: “Pada suatu hari sewaktu bersama baginda Rasulullah s.a.w. maka tiba-tiba datang seorang lelaki yang berwajah putih bersih, rambutnya pula sangat cantik dan dia memakai pakaian putih. Lalu dia menghampiri Rasulullah s.a.w dengan berkata:
“Assalamualaikum ya Rasulullah, apa ertinya dunia itu?”.

Maka Rasulullah pun berkata: “Dunia itu adalah impian orang yang tidur”.

Bertanya orang itu lagi: “Apakah ertinya akhirat itu ya Rasulullah s.a.w:? “

Berkata Rasulullah s.a.w: “Satu kumpulan manusia yang berada dalam Syurga dan satu kumpulan lagi berada didalam Neraka Sa’ir”.

Orang itu bertanya lagi: “Apakah Syurga itu?”

Berkata Rasulullah s.a.w; “Sebagai ganti dunia untuk mereka yang menjauhkan dunia kerana sesungguhnya nilai harga Syurga itu sama dengan menjauhkan Dunia ini”.

Bertanya orang itu lagi: “Apakah Jahannam itu?”

Maka berkata Rasulullah s.a.w: “ Jahannam itu adalah sebagai ganti bagi mereka-mereka yang mencarinya

Bertanya orang itu lagi: “Siapakah sebaik-sebaik umat ini?”
Berkata Rasulullah s.a.w.: “Sebaik-baik umat ialah taat kepada Allah s.w.t

Orang itu bertanya lagi: Bagaimana yang dikatakan orang yang taat itu?”

Berkata Rasulullah s.a.w: “ Orang yang berusaha bersungguh-sungguh sebagaimana orang mencari kafilah”

Orang itu bertanya lagi “Seberapakah ketentuan ta’at itu?”

Berkata Rasulullah s.a.w: “ Seperti kira-kira perbezaan dari kafilah”

Berkata orang itu lagi: “Berapa Jarak jauhnya Dunia dengan Akhirat itu?”

Berkata Rasulullah s.a.w: “Hanya sekadar memejamkan mata sahaja.”

Jabir melanjutkan ceritanya; “Setelah orang itu pergi kami tidak lagi melihat orang itu selepas itu.”

Rasulullah pun bersabda: “Orang lelaki yang datang tadi adalah Jibrail a.s, dia datang kepada kamu supaya kamu semua menjauhkan diri dari dunia dan supaya kamu mencintai Akhirat”.

Berkata Rasulullah s.a.w lagi : “Sesungguhnya Allah tidak menciptakan makluk yang lebih dibenci selain dunia, bahkan dia(Allah) tidak melihatnya sejak menciptakannya

Dunia ini adalah suatu alam khayalan yang mana suatu hari nanti akan musnah, jadi apalah gunanya kita mengejar Dunia setelah kita tahu bahawa Akhirat sahaja yang kekal.

Gunakanlah dunia ini untuk kita mengumpul amal kebaikan untuk bekalan dibawa ke Akhirat, janganlah kita menjadi orang bodoh, sebab orang yang bodoh hanya suka mengejar dunia. Seluruh masa dan tenaganya dihabiskan semata-mata untuk mendapatkan dunia.

Orang kaya bukanlah orang yang pandai kalau dia tidak mendekatkan diri kepada Allah, sebaliknya orang yang mendekatkan diri kepada Allah adalah orang yang paling bijak, sebab dia tahu dia satu masa nanti dia akan mati, segala yang dimiliki didunia akan ditinggalkan kecuali amal yang diperbuatkan akan dibawa kedalam kubur.

Ingatlah saudara-saudaraku, hiduplah dengan cara Islam, jangan tangguh lagi, segeralah taat dan mengingati Allah kerana ajal itu tidak boleh dijangka.
Semoga Allah memberikan kita kebahagiaan di Dunia dan di Akhirat.

Kata Hikmah

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia kepada-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya.

Tiada seorang pun daripada hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu lebih Aku cintai daripada ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya.Di samping itu, hendaklah sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga aku mencintainya.

Apabila Aku sudah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya; sebagai penglihatan yang ia melihat dengannya; sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya.

Seandainya ia memohon (sesuatu) daripada-Ku pasti akan Aku terima; dan seandainya (pula) ia memohon perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Followers

About Me

My photo
Nama Mohammad Faiz Bin Md Nor,Berasal dari Negeri Sembilan,menetap di Seremban,lahir pada 11 march 1988,bersekolah dahulu di Sekolah rendah kebangsaan Senawang,sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar,Tingkatan 6 di Sekolah Menegah Kebangsaan Seri Pagi dan pernah menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang sejarah...