sumber: berita harian online bertarikh 25/01/2011
IBADAT solat penentu keimanan seseorang dan sesiapa meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan orang itu gugur keimanannya. Solat juga memisahkan antara seseorang dengan kesyirikan dan kekufuran.Menjaga solat supaya diterima oleh Allah penting dan bagi tujuan itu, solat yang sempurna serta tidak ada cacat kurangnya menjadi keutamaan. Walau bagaimanapun, sebagai makhluk yang lemah, kita sentiasa terdedah dengan godaan syaitan.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan manusia yang mula-mula dihisab pada hari kiamat ialah solat mereka. Tuhan berfirman kepada para malaikat-Nya (padahal Dia lebih mengetahui): Periksalah solat hamba-Ku! Sempurnakah atau kurang? Jika solatnya sempurna catatkanlah sebagai sempurna, dan jika terdapat sesuatu kekurangan, Tuhan berfirman pula: Periksalah adakah hamba-Ku mempunyai amalan solat sunat? Jika dia mempunyai amalan solat sunat lalu Tuhan berfirman: Sempurnakanlah solat fardu hamba-Ku dengan solat sunatnya. Kemudian diperhitungkan amalan itu dengan cara demikian.” (Hadis riwayat Abu Dawud)
Selain orang yang mengerjakan solat sunat dapat menutupi segala kekurangan solat fardu, solat sunat juga menjadikan pelakunya ahli syurga.
Rabi’ah bin Malik al-Aslami berkata: “Aku pernah bermalam di rumah Rasulullah SAW. Ketika Baginda bangun, aku mengambil air wuduk untuk Baginda dan melayani apa yang Baginda perlukan. Selanjutnya Baginda bersabda kepadaku: Mintalah! Aku menjawab: Aku meminta supaya jika aku dapat menemani engkau di syurga kelak. Baginda bertanya: Adakah permintaan selain dari itu? Aku menjawab: Cukup itu saja. Baginda lalu bersabda yang maksudnya: Bantulah aku bagi mencapai permintaanmu itu dengan memperbanyakkan sujud (solat sunat).” (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Nasa’i)
Sesungguhnya amalan mengerjakan solat sunat banyak manfaatnya. Mereka yang melakukannya akan dicintai Allah SWT dan Dia akan meninggikan hamba-Nya itu satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan (dosa).
Ulama dan penulis terkenal Dr ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni dalam bukunya Pesanan Untuk Orang Berdosa ada mencatatkan: “Ingatlah bahawa saranan atau jalan paling efektif untuk memelihara iman adalah ibadah sunat. Ingatlah bahawa tanda kebenaran seorang mukmin tersembunyi dalam ibadah sunatnya. Ingatlah bahawa sesungguhnya banyak bersujud, melaksanakan ibadah sunat dan membaca al-Quran adalah langkah untuk mempertahankan iman.”
No comments:
Post a Comment