Wednesday, December 29, 2010

al-Quran dibaca, diamalkan

TANPA sebarang keraguan, al-Quran adalah kitab suci umat Islam yang terkandung pelbagai khazanah ilmu bagi manfaat manusia.Firman Allah yang bermaksud: "Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)." (Surah al-Ma'idah ayat 48)

Kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, hanya boleh dicapai jika manusia berpegang kepada kandungan al-Quran. Perkara ini dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: "Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya dan Rasul-Nya." (Surah al-Baqarah, ayat 285)

Al-Quran kekal terpelihara daripada sebarang bentuk perubahan hingga hari kiamat.Melihat kepada keistimewaan al-Quran, umat Islam perlu menjunjung ketinggian martabat kitab suci itu, semua haknya perlu ditunaikan. Antara hak al-Quran ialah untuk diimani, dibaca, dihafal, difahami, diamalkan dan hak untuk disebarkan isi kandungannya. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan al-Quran, dan Kami-lah yang memelihara dan menjaganya." (Surah al-Hijr, ayat 9).


Al-Quran perlu diimani kerana menolak al-Quran sehingga meragui isi kandungannya akan membuatkan umat Islam tercampak ke lembah kekufuran. Keimanan terhadap al-Quran turut berkait dengan keimanan kepada Rasulullah yang dipilih sebagai Rasul akhir zaman dan menyampaikan ajaran Islam seperti mana yang termaktub di dalam al-Quran.

Selain itu, hak al-Quran untuk dibaca. Adakah kita membaca al-Quran setiap hari? Pernahkah kita memperuntukkan masa untuk membaca dan memahami al-Quran? Berapa ramai generasi muda hari ini tidak tahu membaca al-Quran?

Jauhnya umat Islam daripada al-Quran akan menutup pintu rahmat dan keberkatan Allah dalam kehidupan mereka. Malah, hakikatnya al-Quran bakal memberi syafaat buat umat Islam di akhirat kelak. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Bacalah al-Quran, kerana ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaat kepada pembacanya." (Hadis riwayat Muslim)

Kemudian hak al-Quran hak untuk dihafal. Terlalu banyak ganjaran bagi mereka yang mampu menempatkan ayat al-Quran dalam hati mereka. Jika al-Quran sudah terpahat dalam hati, maka diri akan sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk kemungkaran dan kemaksiatan. Rasulullah pernah memberi perumpamaan yang buruk bagi mereka yang tidak mempunyai al-Quran dalam hatinya.Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya tidak ada al-Quran sama sekali, tidak ubah seperti sebuah rumah yang rosak." (Hadis riwayat al-Tirmidzi, Ahmad, al-Hakim, dan al-Darimi)

Hak al-Quran yang keempat ialah hak untuk difahami. Sesungguhnya inti pati al-Quran tidak akan dapat dibongkar jika umat Islam gagal memahami isi kandungan al-Quran. Pemahaman isi kandungan al-Quran boleh diperoleh menerusi kupasan tafsiran al-Quran di pelbagai media.Penguasaan bahasa Arab juga perlu diusahakan bagi memahami isi kandungan al-Quran.


Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Pelajarilah al-Quran dan bacalah, serta tidurlah kalian. Sebab perumpamaan al-Quran dan orang yang mempelajarinya kemudian ia mahu membacanya, ibarat satu bejana yang penuh berisi minyak wangi yang baunya semerbak di merata tempat. Sedangkan perumpamaan orang yang mempelajari al-Quran, tetapi ia tidur sahaja, al-Quran hanya di dadanya sahaja (tidak dibaca); maka hal itu ibarat bejana yang berisi minyak wangi, tetapi tutupnya diikat rapat-rapat." (Hadis riwayat Ibnu Majah, al-Tirmidzi, al-Nasa'i, dan Ibnu Hibban)

Al-Quran mempunyai hak untuk diamalkan. Berdosa jika mengetahui isi al-Quran, namun tidak mengamalkannya. Jika al-Quran tidak dipelihara atau diamalkan, ia bakal mengheret Muslim ke pintu neraka. Berbahagialah bagi mereka yang membaca al-Quran dan mengamalkan isi kandungannya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Orang Mukmin yang membaca al-Quran dan mengamalkan isinya, ibarat buah yang manis, rasanya enak dan baunya harum." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, al-Tirmidzi, dan lain-lain)

Hak al-Quran yang terakhir ialah untuk disebarkan isi kandungannya. Perkara itu menjadi perjuangan Rasulullah ketika hayatnya yang diteruskan salaf al-salih dan golongan ilmuan Islam. Hakikatnya, ia membuktikan Islam cintakan ilmu dan menggalakkan budaya ilmu disuburkan untuk faedah umat manusia.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling baik antara kalian adalah yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (Hadis riwayat al-Bukhari, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Darimi)

No comments:

Post a Comment

Kata Hikmah

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia kepada-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya.

Tiada seorang pun daripada hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu lebih Aku cintai daripada ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya.Di samping itu, hendaklah sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga aku mencintainya.

Apabila Aku sudah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya; sebagai penglihatan yang ia melihat dengannya; sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya.

Seandainya ia memohon (sesuatu) daripada-Ku pasti akan Aku terima; dan seandainya (pula) ia memohon perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Followers

About Me

My photo
Nama Mohammad Faiz Bin Md Nor,Berasal dari Negeri Sembilan,menetap di Seremban,lahir pada 11 march 1988,bersekolah dahulu di Sekolah rendah kebangsaan Senawang,sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar,Tingkatan 6 di Sekolah Menegah Kebangsaan Seri Pagi dan pernah menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang sejarah...