Friday, October 22, 2010

keistimewaan hari Jumaat

SETIAP minggu kita bertemu hari Jumaat. Hari yang sepatutnya dinanti-nantikan setiap umat Islam agar dapat dimanfaatkan sebaik mungkin. Hari Jumaat melambangkan keutuhan dan kesepaduan umat Islam. Seluruh umat berhimpun di rumah Allah bagi meraih keredaan dan kerahmatan-Nya. Sesungguhnya kemuliaan hari Jumaat yang juga digelar 'Saiyyidul ayyam' terpahat dalam banyak hadis Rasulullah. Antaranya sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari adalah hari Jumaat. Pada hari itu diciptakan Adam, dimasukkan dan dikeluarkan dari syurga pada hari itu, dan kiamat akan terjadi pada hari Jumaat". (Hadis riwayat Muslim)

Pada hari Jumaat juga perlu melakukan banyak kebajikan dan berdoa. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Pada hari itu (hari Jumaat) tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dimakbulkan permintaannya."(Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah menyatakan bahawa antara waktu yang mustajab doa adalah ketika imam duduk di antara dua khutbah. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Sesungguhnya saat yang mustajab (berdoa) itu di antara duduk imam antara dua khutbah hingga selesai sembahyang Jumaat." (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Setiap individu Muslim dianjurkan membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat.Amalan membaca surah al-Kahfi menyelamatkan daripada fitnah Dajal. Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Barang siapa yang membaca sepuluh ayat terakhir dari surah al-Kahfi, akan terpelihara daripada fitnah Dajal." (Hadis riwayat Ahmad)

Kita dikehendaki bersegera menghadirkan diri ke masjid untuk bersolat. Firman Allah di dalam al-Quran yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu) yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)."(Surah al-Jumu'ah ayat 9)

Namun, selepas selesai solat Jumaat, umat Islam digalakkan untuk meneruskan aktiviti dan urusan mereka kembali. Firman Allah yang bermaksud: "Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." (Surah al-Jumu'ah ayat 10)

Begitulah keindahan Islam yang diatur dengan sebaik-baiknya mengikut aturan Allah. Perkara itu dapat difahami menerusi maksud sabda Rasulullah: "Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, memakai pakaiannya yang paling baik, memakai bauan yang ada di rumahnya, kemudian dia pergi menunaikan solat Jumaat tanpa melangkah tengkuk orang lain, solat seperti mana yang ditetapkan untuknya, diam ketika imam keluar sehingga dia selesai menunaikan solatnya, maka semuanya itu akan menghapuskan segala dosa yang dilakukannya dalam tempoh di antara Jumaat tersebut dan Jumaat selepas itu." (Hadis riwayat Ibnu Hibban dan al-Hakim)

Walaupun besar ganjaran yang dihamparkan Allah kepada kita pada hari Jumaat, ramai masih alpa beberapa perkara. Terdapat individu Muslim yang sanggup meninggalkan solat Jumaat tanpa alasan. Sabda Rasulullah lagi yang bermaksud: "Barang siapa mendengar panggilan azan pada hari Jumaat dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, kemudian mendengarnya dan tidak mendatanginya, maka Allah akan menutup hatinya dan menjadikan hatinya seperti hati orang munafik." (Hadis riwayat Baihaqi)

Namun, bagi mereka yang hadir solat Jumaat, pastikan anda menjaga tertib, antaranya berbual ketika khatib membaca khutbah.Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Jika kamu berkata-kata kepada teman kamu (dengan perkataan) 'diam' sementara imam sedang berkhutbah, maka kamu melakukan laghw (perkara sia-sia)." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Mendengar khutbah Jumaat dengan teliti serta mengambil peringatan daripadanya ialah sesuatu yang dituntut. Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan ia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat." (Surah al-A'raf, ayat 204)

Hal berkenaan bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya ini adalah umat kamu, umat yang satu. Dan Aku (Allah) adalah Tuhanmu, maka bertakwalah kepada-Ku (Allah)." (Surah al-Mu'minun ayat 52)

Adab pada Hari Jumaat

MENURUT al Imam Hujjatul Islam, al-Ghazali, dalam Bidayatul Hidayah bahawa Jumaat adalah hari raya bagi orang Islam. Iaitu hari mulia yang sudah dikhususkan Allah SWT kepada umat Muhammad SAW. Malah, pada hari itu ada satu saat yang mustajab doa.

Apabila anda berada pada Jumaat, hendaklah mandi kerana mandi Jumaat itu hukumnya sunat Muakkad terhadap setiap orang yang diwajibkan padanya solat Jumaat. Bersungguh-sungguhlah kamu menyucikan badanmu dengan mencukur bulu ari-ari dan mengandam misai, memotong kuku, bersugi dan lain-lain. Kemudian pakailah pakaian putih kerana ia lebih disukai di sisi Allah dan pakailah minyak wangi terbaik yang dimiliki.

Sesudah itu bersegeralah ke masjid dan berjalanlah perlahan-lahan dengan penuh ketenangan. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda dalam suatu hadis yang bermaksud: “Siapa yang pergi (ke masjid pada Jumaat) pada jam yang pertama, maka seakan-akan ia berkorban seekor unta. Dan siapa yang pergi pada jam kedua, maka seakan-akan ia berkorban seekor lembu. Dan siapa yang pergi pada jam ketiga, maka seakan-akan ia berkorban seekor kibas. Dan siapa yang pergi pada jam keempat, seakan-akan ia berkorban seekor ayam. Dan siapa yang pergi pada jam kelima, seakan-akan ia berkorban sebiji telur. Dan apabila Imam sudah keluar (naik ke atas mimbar), maka dilipatlah buku catatan dan diangkat segala pena dan malaikat (yang bertugas sebagai pencatat) pergi duduk di tepi mimbar untuk mendengar khutbah.”
Ada riwayat lain mengatakan bahawa kadar hampir seorang hamba ketika melihat Allah (pada hari Kiamat kelak) adalah berdasarkan kepada kadar segeranya orang itu pergi ke masjid.

Apabila anda masuk ke dalam masjid, maka carilah saf yang pertama, tetapi sekiranya orang sudah ramai dan memenuhi saf berkenaan, maka janganlah anda melangkahi bahu mereka dan janganlah anda lalu di hadapan orang yang sedang menunaikan solat. Pilihlah tempat duduk berdekatan dengan dinding atau tiang sehingga orang tidak melintasi depanmu.

Janganlah duduk (dalam masjid) kecuali anda sudah menunaikan solat sunat Tahiyyatul Masjid. Janganlah anda meninggalkan solat sunat tahiyyatul masjid walaupun imam sedang membaca khutbah. Begitulah antara adab yang diterangkan oleh Imam Ghazali dalam kitab beliau, iaitu Bidayatul Hidayah. Wallahua’lam.


1 comment:

  1. ramai gak follwer awak erk....pe2 pun jadikan blog sbagai tempat meybrkan msj....
    likes your blog....

    ReplyDelete

Kata Hikmah

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia kepada-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya.

Tiada seorang pun daripada hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu lebih Aku cintai daripada ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya.Di samping itu, hendaklah sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga aku mencintainya.

Apabila Aku sudah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya; sebagai penglihatan yang ia melihat dengannya; sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya.

Seandainya ia memohon (sesuatu) daripada-Ku pasti akan Aku terima; dan seandainya (pula) ia memohon perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Followers

About Me

My photo
Nama Mohammad Faiz Bin Md Nor,Berasal dari Negeri Sembilan,menetap di Seremban,lahir pada 11 march 1988,bersekolah dahulu di Sekolah rendah kebangsaan Senawang,sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar,Tingkatan 6 di Sekolah Menegah Kebangsaan Seri Pagi dan pernah menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang sejarah...