Monday, April 25, 2011

Amanah membawa berkat dan rahmat

DALAM sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Amanah menarik rezeki, khianat mengundang kefakiran”. Sesungguhnya contoh terbaik dalam bersifat amanah adalah Nabi Muhammad sendiri.

Rasulullah sangat suka kepada orang bersifat amanah. Amanah membawa berkat dan Allah pasti memberikan rahmat. Apakah yang dimaksudkan dengan amanah?

Amanah bermaksud kejujuran, kepercayaan, melaksanakan sesuatu dengan betul mengikut lunas Islam. Ia juga bermaksud tanggungjawab yang diserahkan orang lain kepada kita dan perlu menunaikan sebaik-baiknya tanpa sebarang penyelewengan.

Ia adalah sifat kedua yang wajib bagi rasul. Firman Allah: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan dan melaksanakan amanah (bertanggungjawab) terhadap orang-orang yang memberikan amanah itu. Dan apabila kamu menghukum antara manusia, lakukanlah dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pelajaran yang amat baik padamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat”. (Surah An-Nisa’ ayat 58)


Setiap orang sewajarnya menanamkan rasa tanggungjawab berkenaan sedalam-dalamnya di dalam dada. Selain daripada peraturan supaya orang menunaikan amanah dengan baik, perlu ditanamkan rasa iman dan takwa kepada Allah yang selalu memerhatikan segala tindak-tanduk manusia.


Iman dan takwa lebih berkesan daripada undang-undang. Dengan merasakan tanggungjawab itu sebagai satu kewajipan daripada Allah dan disertai dengan undang-undang, setiap rakyat dapat menunaikan tanggungjawab padanya, maka amanlah negara dan masyarakat daripada segala penyelewengan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang mukmin! Janganlah kamu berkhianat kepada Allah dan Rasul (Muhammad) dan juga janganlah kamu mengkhianati (memungkiri) amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedangkan kamu mengetahui”. (Surah Al-Anfal ayat 27)

Allah menjanjikan tempat yang baik di akhirat untuk hamba-Nya iaitu: Orang-orang yang beriman termasuk: orang yang khusyuk dalam solatnya, orang yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang tidak berguna, orang yang membayar zakat, orang yang memelihara kehormatannya dan menjaga nafsunya dan orang-orang yang memelihara amanah dan menepati janjinya.

Mereka dijanjikan syurga Firdaus dan kekal di dalamnya. (Surah Al-Mu’minun ayat 1 hingga 10). Apa yang berlaku apabila amanah tidak dipelihara?

Apabila amanah tidak lagi menjadi pegangan maka berlakulah khianat. Menurut Kamus Dewan, khianat bermaksud perbuatan jahat yang bertujuan menganiaya atau mendatangkan kecelakaan ada orang lain, tipu daya, perbuatan belot dan tidak setia.

Perbuatan khianat itu berlawanan dengan amanah dan sangat buruk di sisi Islam. Ini kerana khianat adalah termasuk di dalam perbuatan munafik.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Tanda munafik ada tiga: Jika berkata ia dusta, jika berjanji ia mungkir dan apabila mengikat janji setia ia khianat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Khianat boleh membawa kepada fitnah. Kedua-dua perbuatan ini adalah dahsyat dan boleh membawa kehancuran kepada seseorang atau organisasi.

Allah menjanjikan seksaan amat dahsyat kepada orang yang khianat dan pembawa fitnah. “Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahanam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.” (Surah Al-Buruuj ayat 10)

Terdapat beberapa faktor yang mendorong kepada perbuatan khianat antaranya mempunyai perasaan permusuhan dan kebencian. Benci membawa kepada permusuhan.
Apabila menjadi musuh, mula timbul perasaan khianat. Kedua, berasa diri mulia. Apabila melihat orang lain lebih daripadanya, muncullah perasaan iri hati dan khianat.

Ketiga, takbur dan ujub. Mereka berasa takbur dan ujub dengan diri sendiri kerana merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Keempat, takut terlepas sesuatu tujuan atau habuan serta ghairah mencari ketua dan mencari populariti.

Akibat ingin mengejar habuan dan populariti, orang lain sanggup dikhianati. Sementara yang terakhir adalah busuk hati. Sesungguhnya busuk hati mengundang khianat dan membawa kepada fitnah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Orang-orang yang menyakiti Mukmin lelaki dan perempuan (dengan membuat fitnah) padahal mereka (orang-orang yang beriman itu) tidak berdosa maka sesungguhnya pembawa fitnah itu memikul beban pendustaan dan dosa yang nyata.” (Surah Al-Ahzab ayat 58)

Perasaan dan perbuatan khianat boleh dihentikan dengan menanamkan rasa amanah. Apabila amanah dijadikan pegangan, amanah pada Allah, Rasul-Nya, diri sendiri, tanggungjawab dan masyarakat, akan terhentilah niat mengkhianati amanah.

Bagaimana hendak mendidik sifat amanah? Sifat amanah sebenarnya patut ditanamkan sejak daripada kanak-kanak lagi. Ibu bapa hendaklah mendidik anak dengan sifat ini supaya apabila dewasa, mereka tidak melanggar amanah.

Bagi menjaga amanah, pertama, kita hendaklah menjaga tutur bicara. Janganlah selalu membicarakan hal yang diamanahkan kepada kita kepada orang lain.

Kita hendaklah menjaga aib dan kehormatan orang lain. Kita juga perlu menjaga janji kerana mendustakan janji termasuk di kalangan orang-orang munafik.

Kepada mereka yang pecah amanah dan menipu sebenarnya kita tidak senang dengan pendapatan hasil daripada menipu. Kepada penipu, insaflah dan yang tertipu pula bergembiralah kerana pengalaman mengajar siapa yang boleh diberi amanah dan tidak, siapa yang boleh dijadikan kawan atau musuh.

Lalai solat kerana pengaruh dunia

PERNAHKAH kita bersedih kerana tertinggal sembahyang, terlewat mengerjakannya atau pernahkah perasaan rugi kerana tidak sempat melakukan solat secara berjemaah?

Pernahkah kita terasa berdosa tidak ‘beradab’ menghadapi Allah? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Kali ini penulis ingin menyentuh soal lalai dalam solat.

Lawan lalai ialah khusyuk dan ia bukan setakat dapat menumpukan perhatian dan faham apa yang dibaca dalam sembahyang tetapi menimbulkan rasa-rasa dengan Tuhan.

Kalau tidak ada rasa-rasa yang berubah dalam sembahyang seperti gerun, hebat, cinta, takut, berharap kepada Tuhan maka itu tanda tidak khusyuk.


Lalai dalam sembahyang ada beberapa peringkat seperti berikut:


1. Lalai habis. Takbir sahaja sudah ingat perkara lain di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena langsung dengan sembahyang. Ia berterusan sampai salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan Tuhan sepanjang sembahyang. Malahan sedar pun tidak.

2. Dalam sembahyang. Ada masa lalai dan ada masanya ingat dan sedar bahawa dia sedang bersembahyang. Sembahyang diselang-seli dengan lalai dan mengingat hal-hal dunia.

3. Boleh ikut dan menyorot apa yang dia baca dalam sembahyang tetapi tidak faham akan maksud apa yang dibaca dan dilafazkan. Kalau hendak diukur dengan nisbah khusyuk, ini masih dianggap lalai. Bila tidak faham, masakan boleh menghayati. Kalau tidak menghayati, masakan boleh merasa apa-apa dengan Tuhan.

4. Boleh faham segala apa yang dibuat, dibaca dan dilafazkan di dalam sembahyang. Sembahyang seperti ini sudah agak baik. Namun ini masih dianggap lalai mengikut kehendak dan tuntutan sembahyang kerana belum ada apa-apa rasa dengan Tuhan. Khusyuk adalah rasa bukan setakat tahu atau faham.

5. Faham akan segala apa yang dibaca dan dilafazkan dalam sembahyang dan kadang-kadang ada rasa tetapi tidak pada sepanjang masa dan waktu di dalam sembahyang. Walaupun ini sudah baik tetapi masih ada lalai. Walaupun tidak membawa dunia ke dalam sembahyang tetapi rasa-rasa dengan Tuhan tidak wujud sepanjang waktu dalam sembahyang.

6. Sembahyang yang tidak lalai itu ialah yang sentiasa mempunyai rasa dengan Tuhan yang berubah-ubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain mengikut apa yang dibaca dan apa yang dilafazkan, bermula dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam. Inilah sembahyang yang tidak lalai. Inilah sembahyang yang benar-benar khusyuk.

Lalai berpunca daripada pengaruh dunia. Kalau dunia berada di hati amat sukar untuk mendapat khusyuk dalam sembahyang. Dunia akan terbawa dalam sembahyang.

Sebab itu kalau dalam sembahyang hanya ada rasa-rasa keduniaan seperti seronok baru berjumpa kawan, teringat polis saman kereta kita salah parking atau bimbang tak sempat pergi ke bank sebelum bank tutup dan sebagainya.

Rasa-rasa ini ialah rasa dunia yang melalaikan, bukan rasa-rasa khusyuk. Sekiranya kita tidak kenal Tuhan, hanya setakat tahu dan percaya sahaja,
kita tidak akan dapat rasa khusyuk.

Paling tinggi ketauhidan kita hanya di peringkat akal atau fikiran sahaja kerana tahu dan percaya itu perkara akal. Kita dikatakan orang yang berfikiran tauhid, bukan yang berjiwa tauhid.

Mengenal Tuhan ialah langkah pertama untuk mendapat khusyuk. Setelah mengenali Tuhan barulah kita akan dapat merasakan kehebatan dan keagungan Tuhan di hati kita kerana kenal itu perkara hati.

Barulah kita akan dapat rasa bertuhan. Selagi hati kita tidak dapat rasa bertuhan, ia tidak akan dapat rasa kehambaan dan ia tidak akan dapat rasa khusyuk.

Ada hadis berbunyi: “Awal-awal agama adalah mengenal Allah” Maksudnya, selagi kita tidak kenal Allah, agak sukar untuk kita beragama. Kita tidak akan boleh khusyuk.

Selagi kita tidak boleh khusyuk kita sebenarnya belum berjiwa Tauhid. Kalau kita belum berjiwa Tauhid kita tidak akan mampu mengamalkan dan menegakkan syariat Islam secara lahir dan batin.


Mungkin kita boleh laksanakan syariat lahir tetapi batinnya kosong. Tidak ada khusyuk, tidak ada roh dan tidak ada jiwa. Padahal Islam itu mesti ada lahir dan batinnya.

Cinta nabi tanda sempurna iman

ALHAMDULILLAH baru-baru ini, seluruh umat Islam menyambut ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Kita perlu memanjatkan rasa kesyukuran kerana dikurniakan nikmat kehidupan oleh Allah SWT.

Selepas iman dan akidah, pengukuhan iman seorang Muslim dikuatkan dengan keimanan kepada Rasulullah. Beriman kepada rasul juga mesti sampai ke peringkat buat apa yang nabi buat, bukan pilih-pilih tapi segala-galanya mesti diikut kerana segala perbuatan nabi adalah wahyu daripada Allah.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Tiadalah segala yang datang dari nabi itu nafsu melainkan wahyu yang diturunkan kepadanya.”

Jadi kita perlu melakukan apa yang nabi suruh kita lakukan. Itu sebab nabi diutus dalam bentuk manusia. Bayangkan jika malaikat jadi nabi, kita pasti susah mahu ikut kerana malaikat tak makan, tak minum, tak kahwin.


Kehidupan Rasulullah berlandaskan wahyu Allah. Semua orang makan, tapi jika makan cara nabi jadi ibadat. Begitu juga kahwin, nabi ajar cara perkahwinan yang betul, begitu juga hiburan, nabi mengajar cara berhibur yang betul.


Kenapa mesti kita mencintai Rasulullah? Pertamanya, kerana nabi terlalu cinta kepada kita. Apa bukti nabi sangat cinta pada kita? Bacalah sejarah, sebelum nabi wafat, antara perkataan akhir nabi ialah “ummati, ummati” (umatku, umatku) umat nabi itu kitalah.

Menurut satu riwayat lain, ketika nabi dibangkitkan di Padang Mahsyar kelak antara perkataan pertama nabi tanya kepada malaikat Jibril ialah “Di mana umatku?”

Nabi juga pernah menyatakan dalam satu hadis yang bermaksud: “Bahagialah siapa yang melihatku dan beriman padaku” kemudian nabi sebut tiga kali: “Bahagialah, bahagialah, bahagialah siapa yang tidak melihatku tapi beriman denganku.”

Orang yang tak lihat nabi tapi beriman pada nabi, antaranya kitalah, nabi puji kita tiga kali. Sebab kedua kenapa mesti mencintai nabi sebab cinta nabi tanda sempurnanya iman seseorang Muslim.

Maknanya kalau tak cinta nabi tak sempurnalah iman kita. Sabda nabi yang bermaksud: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku lebih disayangi daripada kamu menyayangi kedua ibu bapamu dan manusia seluruhnya.”

Saidina Umar pernah satu hari berkata pada nabi, “Aku sayangi diriku, lepas tu baru aku sayang padamu, wahai Rasulullah. Nabi menjawab, cintailah aku lebih daripada cinta pada dirimu, barulah sempurna iman kamu.”

Ketiga, nabi sangat banyak jasa kepada kita, jasa nabi bukan sembarangan, bukan kecil, tak boleh ditebus dengan wang ringgit. Jasa nabi pada kita kerana memperkenalkan siapa Tuhan kita yang sebenar.

Nabi sanggup berkorban harta, isteri baginda jadi miskin, bergadai untuk membuat modal bagi menjalankan dakwah. Rasulullah berjuang mendidik pelapis agar ada penyambung generasi hingga Islam sampai ke dalam hati kita.

Itulah kenapa kita perlu sangat bersyukur merasai nikmat iman dan Islam kerana bapa saudara nabi sendiri, Abu Talib, walaupun nabi sudah melakukan dakwah tetapi masih tidak dapat terima Islam.

Jadi begitu mahalnya nilai Islam ini sebenarnya kepada kita semua. Kemudian, kita mesti cinta nabi sebab nabi makhluk Allah yang maksum, yang tidak ada salah apatah lagi cacat cela.

Rasulullah terpelihara daripada segala aib. Malahan baginda mendapat pula al-Quran sebagai mukjizat, sebagai panduan. Jelas sekali mencintai nabi bermakna kita mencintai seorang yang agung dan amat mulia.

Justeru cintailah nabi Muhammad kerana baginda membimbing kita kepada kebenaran, huraikan ayat al-Quran agar kita mudah memahaminya, nabi juga tak jemu-jemu memberi nasihat agar umatnya selamat dan berbahagia di dunia dan akhirat.

Akhir sekali kenali nabi dengan mempelajari sirahnya, memahami hadisnya dan cintailah nabi dengan mencintai apa yang dicintainya.

Nabi Muhammad patut diikuti dan disayangi sebab pada nabi ada segala-galanya.

Baginda paling cantik dan dialah yang paling hebat. Cuma kita saja tak tahu kerana tidak baca secara mendalam perjalanan sirah nabi dan jika baca pun sambil lalu saja.

Nabi Muhammad cemerlang dalam pelbagai dimensi. Cerita nabi lengkap daripada mula lahir, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga tua dan wafat.

Kehebatannya cukup terserlah sejak dari kelahirannya, ketika kanak-kanak, remaja, dewasa sehingga baginda tua dan wafat. Daripada orang biasa, baginda mengasaskan kemudian mengembangkan agama yang terhebat di dunia.

Usah leka jaga iman

APABILA iman lemah, maka mudah sekali melakukan dosa dan maksiat. Apabila maksiat meningkat, bantuan Allah untuk dipelihara daripada syaitan berkurang dan tiada.

Rasulullah sendiri sering berdoa: "Wahai Allah yang boleh membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas jalan agama-Mu". Baginda juga memohon Allah memelihara hala tuju perasaannya supaya tidak menyimpang dari hala tuju yang ditentukan Allah menuju kepada yang tertinggi.

Doa baginda: "Wahai Allah yang menguruskan hati, uruskanlah hati kami di atas ketaatan kepada-Mu". Rasulullah juga berdoa pada siang dan malam di dalam zikirnya: "Wahai Allah, sesungguhnya saya berlindung kepada-Mu daripada kekufuran dan kefakiran".

Adakah kita mengetahui bahawa Umar al-Khattab yang memisahkan imannya antara yang hak dan batil, syaitan cabut lari daripada menghampirinya dan terdapat garisan hitam di wajahnya lantaran banyak menangis kerana takutkan Allah?


Adakah kita mengetahui bahawa beliau pernah mengecam dirinya kerana kekurangan iman? Maka terdedah kepada dosa yang lebih besar.


Kali ini penulis ingin mengingatkan tentang tanda-tanda berkurangnya iman supaya kita lebih bersungguh menjaga iman sebagaimana nabi dan sahabat antaranya ialah:

1. Terus menerus melakukan dosa dan tidak berasa bersalah.
2. Berhati keras dan tidak berminat untuk membaca al-Quran.
3. Lambat melakukan kebaikan, seperti terlambat untuk melakukan solat.
4. Meninggalkan sunnah, sunat dan wajib
5. Memiliki suasana hati yang gelisah seperti bosan dalam kebaikan.
6. Tidak berasakan apapun ketika mendengarkan ayat al-Quran dibacakan seperti ketika Allah mengingatkan tentang hukuman dan janji-Nya tentang khabar baik dan akibat berbuat jahat.
7. Berat dalam mengingat Allah.
8. Tidak berasa risau ketika keadaan berjalan bertentangan dengan syari'ah.
9. Terlalu bersemangat dengan kedudukan dan bimbang kehilangan jawatan.
10. Kedekut dan bakhil, tidak mahu membahagikan rezeki yang dikurniakan Allah.
11. Memerintahkan orang lain untuk berbuat kebaikan sementara dirinya sendiri tidak melakukannya.
12. Berasa senang di atas kegagalan orang lain
13. Hanya memperhatikan yang halal dan haram, dan tidak menghindari yang makruh.
14. Mempermainkan orang yang berbuat kebaikan kecil.
15. Tidak mahu memperhatikan keadaan dan musibah yang ditanggung kaum muslimin.
16. Tidak berasa bertanggungjawab untuk melakukan sesuatu demi kemajuan Islam.
17. Tidak mampu menerima musibah yang menimpanya malah menyalahkan takdir, hanya boleh terima takdir baik sahaja.
18. Suka membantah, hanya untuk berbantah-bantahan, tanpa memiliki bukti.
19. Hanya bersemangat untuk pekerjaan duniawi sebaliknya tidak bersemangat perkara ukhrawi.
20. Berasa bangga dengan kebaikan sendiri, sombong dan bongkak dengan kedudukan, malah banyak lagi.

Beberapa cara untuk meningkatkan keimanan kita:

1. Tilawah Al-Quran dan mentadabburi maknanya, hening dan dengan suara yang lembut tidak tinggi, maka insya-Allah hati kita akan lembut. Yakinkan bahawa Allah sedang berbicara dengan kita.
2. Menyedari keagungan Allah. Segala sesuatu berada dalam kekuasaannya. Banyak hal di sekitar kita yang kita lihat yang menunjukkan keagungan-Nya kepada kita.
Segala sesuatu terjadi sesuai dengan kehendak-Nya. Allah maha menjaga dan memperhatikan segala sesuatu, bahkan seekor semut hitam yang bersembunyi di balik batu hitam dalam kepekatan malam sekalipun.
3. Berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan setidaknya hal-hal dasar yang dilakukan dalam kehidupan seharian seperti cara solat dan berwuduk dengan betul, mengetahui erti daripada nama dan sifat-Nya. Orang yang bertakwa adalah mereka yang berilmu.
4. Menghadiri majlis zikir yang mengingat Allah. Malaikat mengelilingi majlis seperti itu.
5. Selalu menambah perbuatan baik lainnya. Allah akan memudahkan jalan bagi seseorang yang bersedekah dan memudahkan jalan bagi orang yang berbuat kebaikan. Amal kebaikan harus dilakukan secara berterusan.
6. Berasa takut kepada akhir hayat yang buruk. Mengingat kematian akan mengingatkan kita daripada terlena terhadap kesenangan dunia.
7. Mengingat tahap kehidupan akhirat, peringkat ketika kita diletakkan dalam kubur ketika kita diadili ketika kita dihadapkan pada dua kemungkinan, akan berakhir di syurga atau neraka.
8. Berdoa, menyedari bahawa kita memerlukan Allah. Berasa kecil di hadapan Allah.
9. Cinta kita kepada Allah harus kita tunjukkan dalam tindakan. Kita penuh berharap semoga Allah berkenan menerima solat kita dan senantiasa berasa takut akan melakukan kesalahan.
Malam hari sebelum tidur sepatutnya kita bermuhasabah memperhitungkan perbuatan kita sepanjang hari itu.
10. Menyedari akibat daripada berbuat dosa dan pelanggaran. Iman seseorang akan bertambah dengan melakukan kebaikan dan menurun dengan melakukan perbuatan buruk.
11. Semua yang terjadi adalah kerana Allah menghendaki hal itu terjadi. Ketika musibah menimpa kita, itupun daripada Allah.

Al-Quran ubat jiwa keresahan

BETAPA mahalnya harga ketenangan jiwa. Banyak yang mengorbankan apa saja untuk mendapatkannya. Namun, ramai yang salah cara. Lihat saja orang sanggup menghabiskan berjam-jam tenggelam di tempat hiburan meneguk minuman keras.

Ada yang menghabiskan wang yang banyak bagi mendapatkan pil penenang, namun ketenangan yang dicari tidak kunjung tiba. Banyak perkara yang membuat seseorang berasa tertekan, kecewa dan kacau.

Pada peringkat ini, mereka yang menderita kerap melakukan tindakan di luar akal fikiran manusia. Namun, Islam memberikan ubat dan penawar merawat ketenangan.

Berikut adalah langkah yang boleh dilakukan untuk mendapat ketenangan jiwa:


Membaca dan mendengarkan al-Quran

Suatu ketika seseorang datang kepada Ibnu Mas’ud, salah seorang sahabat utama Rasulullah. Dia mengeluh: “Wahai Ibnu Mas’ud, nasihatilah aku dan berilah ubat bagi jiwaku yang gelisah ini. Seharian hidupku penuh dengan perasaan tidak tenteram, jiwa gelisah dan fikiranku kusut. Makan tak enak, tidur pun tidak nyenyak.” Ibnu Mas’ud menjawab: “Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat.

Pertama, tempat orang membaca al-Quran. Engkau baca al-Quran atau engkau dengar baik-baik orang yang membacanya.

Kedua, engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hatimu kepada Allah.

Ketiga, engkau cari waktu dan tempat yang sunyi. Di sana, engkau bertafakur mengabdikan diri kepada Allah. Nasihat sahabat Nabi itu segera dilaksanakan orang itu.

Apabila sampai di rumah, segera dia berwuduk kemudian diambilnya al-Quran dan dibacanya dengan penuh khusyuk. Selesai membaca, dia mendapati hatinya bertambah tenteram dan jiwanya tenang, fikirannya segar, hidupnya terasa baik kembali.

Padahal, dia baru melaksanakan satu daripada tiga nasihat yang disampaikan sahabat Rasulullah itu.


Menyayangi orang miskin

Rasulullah memerintahkan kepada Muslim yang punya kelebihan harta untuk memberikan perhatian kepada orang miskin.

Ternyata, sikap dermawan itu boleh mendatangkan ketenangan jiwa. Mengapa? Dalam sebuah hadis menjelaskan bahawa malaikat selalu mendoakan orang yang dermawan: “Setiap pagi hari dua malaikat senantiasa mendampingi setiap orang. Salah satunya mengucapkan doa: Ya Allah! Berikanlah balasan kepada orang yang berinfak. Dan malaikat yang kedua pun berdoa: Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang kikir itu kebinasaan.”

Daripada hadis berkenaan dapat disimpulkan bahawa orang yang dermawan itu akan memperoleh dua balasan. Pertama, dia mendapat ganjaran atas apa yang diberikannya kepada orang lain.

Kedua, mendapatkan limpahan ketenangan jiwa dan belas kasihan daripada Allah.


Melihat orang yang di bawah, jangan lihat ke atas

Ketenangan jiwa akan diperoleh jika kita senantiasa bersyukur atas segala pemberian Allah meskipun tampak sedikit.

Rasa syukur itu akan muncul apabila kita senantiasa melihat orang yang keadaannya lebih rendah daripada kita, baik dalam hal kebendaan, kesihatan, rupa, pekerjaan dan pemikiran.

Betapa banyak di dunia ini orang yang kurang beruntung. Rasa syukur itu selain mendatangkan ketenangan jiwa, juga ganjaran daripada Allah.


Menjaga silaturahim

Manusia adalah makhluk yang perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan manusia lain. Pelbagai keperluan hidup takkan mungkin boleh diraih tanpa adanya bantuan daripada orang lain.

Dalam hadis Rasulullah diperintahkan untuk tetap menjalin silaturahim sekalipun terhadap orang yang melakukan permusuhan kepada kita. Rasulullah bersabda bahawa silaturahim dapat memanjangkan umur dan mendatangkan rezeki.

Hubungan yang baik di dalam keluarga, mahupun dengan tetangga akan menciptakan ketenangan, kedamaian dan kemesraan. Hubungan yang baik itu juga akan meleraikan sifat dengki, buruk sangka, iri hati, besar diri dan sebagainya.


Banyak mengucapkan la hawla wa la quwwata illa billah

Sumber ketenangan jiwa yang hakiki bersumber daripada Allah. Oleh itu, hendaklah kita selalu menghadirkan Allah dalam segala keadaan, baik dalam keadaan senang ataupun susah.

Kuatnya hubungan kita dengan Allah akan membuatkan jiwa seseorang itu menjadi kuat, tidak mudah goyah. Apabila kita lalai mengingati Allah, maka ia membuka peluang bagi syaitan mempengaruhi fikiran kita.


Mengatakan yang haq (benar) sekalipun pahit

Hidup ini harus dijaga agar senantiasa berada di atas jalan kebenaran. Kebenaran harus diperjuangkan.

Pelanggaran terhadap kebenaran akan mendatangkan kegelisahan. Ketenangan jiwa akan tercapai apabila kita tidak melanggar nilai kebenaran.

Sebaliknya, pelanggaran terhadap kebenaran akan berpengaruh terhadap ketenangan jiwa. Lihat saja orang yang kerap melakukan maksiat dalam hidupnya, mereka akan berasa gelisah walaupun nampak senang dan ceria.


Tidak ambil peduli terhadap celaan orang lain asalkan yang kita lakukan benar kerana Allah

Salah satu faktor yang membuat jiwa seseorang tidak tenang adalah kerana selalu mengikuti penilaian orang terhadap dirinya.

Seorang akan memiliki pendirian kuat jika berpegang kepada prinsip yang datang daripada Allah.


Tidak meminta kepada orang lain

‘Tangan di atas (memberi) lebih mulia dari tangan di bawah’ adalah hadis Rasulullah yang merangsang setiap mukmin untuk hidup berdikari.

Tidak bergantung dan meminta-minta kepada orang lain kerana orang yang berdikari jiwanya akan kuat dan sikapnya lebih berani dalam menghadapi kehidupan.

Sebaliknya, orang yang selalu meminta-minta menggambarkan jiwa yang lemah.


Menjauhi hutang

Dalam sebuah hadis, Rasulullah dengan tegas mengatakan: “Janganlah engkau jadikan dirimu ketakutan setelah merasai ketenangan!” Sahabat bertanya: “Bagaimana boleh terjadi seperti itu! Sabdanya: Kerana hutang.” Begitulah kenyataannya. Orang yang berhutang akan senantiasa dihantui ketakutan kerana dia dikejar-kejar untuk segera membayarnya.

Inilah salah satu faktor yang membuat ramai orang mengalami tekanan jiwa. Rasulullah juga mengatakan: “Hendaklah kamu jauhi hutang kerana hutang itu menjadi beban fikiran di malam hari dan rasa rendah diri di siang hari.”


Selalu berfikir positif

Mengapa seseorang mudah berasa tertekan? Salah satu faktornya kerana dia selalu dibayangi fikiran negatif, selalu mencela dan menyesali kekurangan diri.

Padahal, kita diberikan Allah pelbagai kelebihan. Ubahlah fikiran negatif itu menjadi positif.

Ubahlah ungkapan keluh kesah yang membuat muka berkerut, badan lemas, ubahlah dengan ungkapan senang.

Bukankah di sebalik kesulitan dan kegagalan itu ada hikmah yang boleh jadi pengajaran?

Anak-anak belajar daripada ibu bapa

ADA kalanya kita menegur anak bukan kerana ingin membetulkan kesalahannya, tetapi ingin meluahkan amarah dan geram.

Sepatutnya kita cuba belajar kaedah terbaik menegur anak kerana jika salah cara dan pendekatan mendidik, anak semakin nakal.

Anak-anak banyak belajar daripada ibu bapanya. Mereka juga belajar marah untuk menunjukkan kelakuannya.

Kita akui, banyak pengaruh luar yang mengubah perilaku mereka.


Teman sebaya khususnya sangat akrab dengan anak yang boleh mempengaruhinya sama ada cara bercakap, bertindak, meluahkan kemarahan dan perkataan yang diucapkan.


Sering berlaku anak-anak tidak memahami dan mengetahui maksud perkataan yang diucapkan kerana mereka hanya meniru.

Banyak perkara yang boleh dilakukan ibu bapa bagi mengatasi anak nakal. Perlu diingat, anak mempunyai dunia berbeza dengan orang dewasa.

Sebelum mereka mengetahui benar atau salah sesuatu perkara itu anak-anak hanya bertindak melakukannya tanpa memikirkan kesannya.

Justeru, perkara yang biasa dilihat, itulah yang mereka ikut dan seterusnya membentuk keperibadian anak-anak.

Daya imaginasi anak sangatlah tinggi. Mereka ibarat sedang bermain dengan permainan dan keinginan yang tinggi itulah mendorong mereka bertindak.

Tidak semua tindakan itu diistilahkan sebagai kenakalan. Kalaulah kenakalan itu adalah kesalahan yang biasa cubalah atasi dengan senyuman.

Kalau boleh dengan senyuman kenapa harus dengan kemarahan? Kalau boleh dengan usapan kenapa harus dengan pukulan? Kalau boleh dengan kucupan kenapa dengan dengan cubitan?

Menunjukkan kasih sayang dalam menegur kesalahan menyebabkan anak lebih terbuka. Anak yang melakukan kesalahan belum memahami erti kesalahan sebenar.

Paling penting anak-anak hanya inginkan perhatian daripada ibu bapa. Mereka lebih bahagia jika ibu bapa menunjukkan penuh kasih sayang contohnya dengan memeluk, mengusap kepala atau sekadar berbicara dengan lemah lembut.

Ibu bapa perlu memiliki kesabaran dalam menghadapi anak yang nakal. Kesabaran itu sangat dituntut dalam memberi didikan supaya jiwa anak stabil dan berkembang sempurna.

Kesabaran ibu bapa boleh membuatkan anak mengerti bahawa perkara yang dilakukannya salah. Sebaliknya, cara kekerasan menyebabkan anak semakin melawan dan memberontak.

Walaupun anak melakukan kesalahan, jangan terus membentak kerana perbuatan itu boleh melukakan perasaannya. Hal berkenaan boleh menyebabkan anak berdendam hingga dewasa kelak.

Jadikan marah sebagai senjata terakhir apabila semua usaha lemah-lembut gagal. Marahlah jika anak benar-benar sudah terbukti bersalah.

Namun, berilah nasihat dengan lembut kerana jiwa anak pasti tersentuh dengan kelembutan.

Anak kita sangat kuat ingatannya hingga semakin banyak nasihat positif yang diterima, semakin stabil pertumbuhan jiwanya.

Apabila anak sering menerima kata-kata kasar, maki atau sumpahan tentunya pertumbuhan jiwanya menjadi keras.

Lihatlah Rasulullah menegur Umar Abi Salamah ketika dia makan dengan mengambil makanan yang terletak jauh dari jangkauannya.

Baginda mengatakan: "Ya ghulam sammillah, kul biyaminik wa kul mimma yaliik (anak, bacalah bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari yang terdekat denganmu)."

Jelas Baginda memilih kata-kata yang lembut dan hasilnya anak tidak lagi melakukannya dan nasihat itu terus meresap ke jiwanya.

Usah campak diri dalam kebinasaan

KESIHATAN adalah nikmat paling berharga yang perlu dijaga. Kebanyakan kita sekarang tidak begitu peka terhadap aspek pemakanan.

Asalkan sedap dimakan hingga tidak menghiraukan kesan mudarat kepada kesihatan jika mengambil makanan secara berlebihan khususnya yang bergula dan berlemak.

Apabila sudah disahkan menghidap penyakit berkaitan berada pada tahap kronik barulah seseorang merasakan bahawa kesihatan itu adalah harta yang amat bernilai.

Selepas sesuatu yang berharga sudah tiada, barulah seseorang itu menghargai nilaiannya.


Selepas diuji dengan kesakitan, baru kita berasa betapa beruntungnya nikmat yang dimiliki sebelum ini.


Adakah kita mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat setiap hari? Seandainya kita ikut dengan teratur serta mengamalkan gaya hidup sihat, bersyukurlah kerana kita diberi kesedaran itu.

Sebagai Muslim, wajib kita menjaga amanah yang Allah ini. Sebarang kegiatan yang menjejaskan kesihatan, al-Quran menyifatkan ia sebagai mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.

Ramai yang tidak menghargai nikmat ini. Begitu juga halnya dengan musuh nombor satu negara iaitu dadah.

Kenapa begitu ramai yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah?

Tidak kurang juga hebatnya dengan ketagihan rokok, alkohol serta lumba haram yang membawa musibah, mudarat serta kecacatan.

Kita perlu bertekad untuk meninggalkan tabiat buruk berkenaan dan cuba pula mengajak orang lain menjaga kesihatan untuk terus kekal menjalani kehidupan yang berkualiti.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan dicintai oleh Allah berbanding orang beriman yang lemah”. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Nabi Muhammad s.a.w menyarankan umat Islam tidak kira individu mahupun masyarakat mementingkan kesihatan.

Setiap Muslim hendaklah berusaha sedaya upaya memperbaiki hidup selain menjadi manusia yang kuat.

Nikmat kesihatan yang baik saja mampu mengubah nasib serta dapat meraih kehidupan lebih baik. Badan yang sihat bukan untuk merompak, menyamun atau meragut.

Mampu berjaga malam hingga ke pagi bagi sesetengah orang mudah saja, tetapi untuk bersolat Subuh tidak dapat dilaksanakan.

Peluang sementara badan masih sihat inilah masanya untuk kita memperbaiki diri menjadi lebih baik.

Jangan terus leka dan beranggapan usia masih muda dan mempunyai banyak masa kerana kematian itu tidak mengenal usia.

Tidak semestinya kematian menjemput kita pada usia tua kelak.

Bukan juga bererti, kita perlu melupakan kenikmatan dunia. Kehidupan dunia adalah kurniaan Allah, selagi kita tidak melakukan amalan yang bercanggah dengan agama dan tidak melalaikan maka ambillah.

Alangkah bagusnya jika seorang yang hebat personalitinya, kerjaya, berkarisma, berpelajaran tinggi, mantap akhlak dan amalan agamanya.

Remaja yang hebat adalah golongan yang cemerlang di dunia dan akhirat. Bolehkah kita menjadi cemerlang dalam pelajaran dan pada masa sama menjaga akhlak serta pekerti sebagai Muslim?

Taat dan hormat ibu bapa dan guru, jadilah rakan yang mudah didampingi ketika susah dan senang selain menjaga ibadat termasuk tidak meninggalkan solat wajib.

Zaman remaja bukan untuk mengejar keseronokan. Dunia ini hanya pinjaman dan penuh tipu daya justeru perlu berhati-hati.

Kelihatan dunia ini penuh dengan keseronokan tetapi pada akhirnya pasti ramai yang kecundang.

Cinta Allah adalah cinta hakiki

CINTA monyet adalah asam garam yang pernah dilalui pada zaman remaja. Apabila sudah bercinta maka bermulalah episod saling merindui dan tanda seseorang itu sudah 'diserang' penyakit angau.

Untuk mendapat cinta, manusia berusaha apa saja cara tidak kira di mana dan masa asalkan sasaran cinta tercapai. Dalam mencari cinta sejati manusia, bukan hanya remaja, kadang-kadang tersasar dalam erti sebenar cinta.

Kita hanya bergelut mencari cinta manusia yang tidak bertahan lama dan hanya kadangkala bersifat lipstik. Lupa kepada cinta agung yang menjadi sumber segala cinta.

Cinta Allah adalah cinta hakiki. Kemuncak segala motivasi, samudera segala bekalan dan kesudahan segala keindahan.


Cinta yang membawa kepada segala kebaikan dan berkesudahan menikmati dua syurga iaitu syurga dunia dan akhirat.


Jika Allah adalah cinta segala cinta, dunia akan bertenggek di menaranya. Yang patut diusaha dengan sekuat tenaga, bagaimana hendak dapat cinta Allah.

Sebagai panduan, di sini dijelaskan beberapa faktor dan resipi bagaimana hendak mendapatkan cinta agung Allah.

1. Dengan membaca al-Quran serta merenung dan memahaminya. Berinteraksi dengan al-Quran sama seperti berinteraksi dengan Allah. Sebab kitab ini adalah penghubung di antara makhluk dengan pencipta-Nya.

Dalam hadis Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarnya."

Kemudian dalam keterangan lain Rasulullah menjelaskan: "Bacalah al-Quran kerana ia akan memberi syafaat (pertolongan) kepada siapa sahaja yang membacanya pada hari akhirat kelak."

Di rumah sahabat dulu, biasanya tergantung al-Quran dan pedang. Kenapa dua-dua ini digantung? Sebabnya pedang digunakan untuk pertahanan dan membuka negeri manakala al-Quran untuk membuka hati.

Sekiranya kita boleh baca akhbar dan majalah, malah menghabiskan duit untuk mengumpul gambar penyanyi takkanlah tidak ada masa sebentar untuk baca al-Quran.

Hati yang tidak dihuni dengan al-Quran akan dipenuhi kemunafikan, khayalan gangguan dan kemurungan. Maka isilah hati kita dengan ayat al-Quran.

Kisah seorang sahabat bernama Ubay yang pernah namanya disebut Allah kerana suka membaca al-Quran. Apabila Nabi beritahunya, Ubay terus menangis.

Nabi uji Ubay dengan soalan, apakah ayat al-Quran yang paling agung. Beliau menjawab: "Ayat kursi." Banyakkanlah membaca ayat ini.

Selain itu, jika hendak dapat cinta Allah seseorang itu perlu solat malam (Qiyamullail). Kita memang biasa bangun malam atau berjaga malam.

Tapi bukan untuk solat, tetapi untuk tengok bola, menonton filem, berborak serta melepak. Qiyamullail tidak semestinya bangun pada jam tiga atau empat pagi.

Cukup sekadar sembahyang dua rakaat sebelum masuk waktu Subuh sudah memadai. Ketika menonton siaran bola sepak pula, ketika perlawanan berhenti pada waktu rehat kita ambil wuduk dan bersolat sunat dua rakaat.

Antara cara yang boleh dilakukan ketika Qiyamullail ialah:
1. Berniat untuk bangun solat malam dan berdoa.
2. Jangan melakukan dosa pada siang hari sebab dosa pada waktu siang hari akan ikat rohani kita daripada bangun malam.
3. Tidurlah awal sedikit. Jika tidur jam satu atau dua pagi kemudian hendak bangun Qiyamullail memang tidak jadi.
4. Tidur sekejap waktu tengah hari.

Justeru, hendak dapat cinta Allah ialah dengan merenung ayat Allah. Merenung ayat Allah maknanya merenung kejadian yang Allah ciptakan seperti kejadian langit yang tiada bertiang tetapi boleh tertegak dengan kukuhnya.

Allah sembunyikan malam dan datangkan cerah dan siang. Bagaimana Allah jadikan kita? Besarkan kita? Kemudian usia kita menginjak remaja, akhirnya menjadi tua.

Kemudian bagaimana Allah jadikan tumbuhan nampak sama, tetapi tidak serupa? Buah rambutan nampak serupa, tetapi tidak sama.

Semua ini akan mendekatkan kita kepada Allah. Kita perlu merasa betapa lemah dan kerdilnya diri kita terhadap keagungan Allah.

Maka jika kita cinta kepada Allah maka Allah pasti akan membalas semula cinta kita.

Ikrar jauhi maksiat bersungguh-sungguh

BUAT dosa memang seronok. Lihatlah sendiri bagaimana riuh dan heboh dalam golongan yang mengunjungi konsert liar di tepi pantai, dataran, pusat membeli-belah dan kelab malam.

Tidak kurang juga yang melakukan maksiat di rumah sendiri iaitu dengan menonton televisyen, radio, Internet, SMS, MMS, sumbang mahram dan sebagainya.

Majlis ilmu di masjid tidak diikuti, kitab suci al-Quran tidak dibuka dan dibaca tetapi peribadi dan akhlak semakin jauh dari landasan sebenar.

Beberapa bulan lalu, di Indonesia berlakunya letupan gunung berapi. Lihat saja bagaimana penduduknya bertempiaran lari kerana takut kepada lava panas yang keluar daripada Gunung Merapi.


Malah, ada yang tidak sempat melarikan diri, terkorban dengan kesan yang cukup menyayat hati apabila mendapat kecederaan parah di seluruh anggota badan akibat terkena debu panas.


Panasnya lava tidak sama dengan kepanasan api neraka. Sebagaimana disebut dalam hadis panas api neraka melebihi 70 kali ganda kepanasan dan tahap bakaran api di dunia.

Bayangkan kalau Allah percikkan satu asap api neraka apalah agaknya berlaku kepada kita? Ya Allah selamatkan kami semua.

Kita semua melakukan dosa. Apa lagi penulis yang sangat banyak silap dalam hidup ini, sudah banyak kali kita berjanji hendak tinggalkan dosa, sudah tidak mahu buat lagi, sudah menangis dan hendak tinggalkan dosa tetapi yang berlaku kadang-kadang hanya bertahan beberapa hari, bulan atau tahun.

Bagi mereka yang diberi sedikit kekuatan kemudian mengulangi lagi, mengulang dan mengulang, malah makin berselera selepas berpantang.

Yang jahil biasa bergurau kasar dengan kata "Aku buat dosa sebab Allah sudah takdirkan aku macam ni nak buat macam mana lagi".

Ada pula yang berkata, "Kita buat dosa tidak apa, tetapi jangan lupa kita kena buat baik banyak-banyak nanti kebaikan akan dapat menghapus dosa kita.

Pernah berlaku pada zaman Saidina Umar, seorang lelaki mencuri dan apabila diadili dia di dapati bersalah dan dihukum potong tangan. Dia kemudian membela diri dengan berkata, "Aku buat ini (mencuri) kerana Allah yang sudah tentukan". Kemudian Saidina Umar menyatakan hukuman kepada lelaki ini disamping potong tangan dia juga kena sebat 40 rotan, sahabat hairan kenapa ditambah hukuman terhadapnya? Umar berkata hukuman sebat 40 rotan itu di tambah kerana menyalahkan dan membuat tuduhan palsu terhadap Allah.

Sebenarnya syurga disediakan untuk mereka yang berjaya, dan orang yang berjaya ialah orang yang mampu mengalahkan nafsu dan mengatasi ujian hidup.

Dosa laksana soalan hidup yang kita kena jawab. Jawapan pula kena ikut skrip al-Quran dan hadis, manakala pemeriksa amalan di akhirat nanti ialah Allah Yang Maha Adil.

Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dialah yang telah takdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)." (Surah Al-Mulk ayat 2)

Kalau ada yang kata, aku sudah banyak pahala tak apalah buat dosa sekali sekala, memang bohong, bohong dan bohong. Hakikatnya, Allah menciptakan benda baik itu banyak dan melebihi 24 jam sehari jika hendak melaksanakan semua.

Hatta ada manusia terpaksa mengorbankan waktu tidurnya kerana hendak melakukan lebih banyak kebaikan. Mungkin benar kita sudah buat baik dan pahala, tetapi yang patut juga kita tanya adakah kebaikan yang kita buat itu diterima Allah?

Sebab kalau sudah memang kebaikan yang kita buat tentu hati kita sudah terisi dengan makruf dan kalau hati sudah terisi dengan kebaikan bagaimana pula mungkar boleh masuk?

Tulisan ini bukan mahu menuduh sesiapa, tetapi mahu mengajak kita sama-sama bermuhasabah berkenaan waktu terluang dan peluang yang sangat banyak untuk kita lakukan ketaatan.

Benarlah firman Allah yang bermaksud: "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Surah Al-'Asr ayat 1-3).

Ada banyak cara untuk kita hindari dosa dan maksiat di kesempatan terbatas ini marilah kita berprinsip, bermati-matian untuk menjauhi dosa.

Selama ini kita banyak bermain-main dalam menjauhi dosa dan maksiat, banyak main dalam beribadat dan taat kepada perintah Allah. Bermati-matianlah dalam bersolat, bermati-matian dalam berdakwah, bermati-matian dalam berzikir dan bermati matian dalam mencari cinta Allah serta mengamalkan sunnah Rasul.

Dosa racuni hati, perasaan

MENJADI nikmat paling berharga dalam kehidupan manusia apabila memiliki jiwa tenang. Jiwa tenang akan sentiasa berbahagia dalam mengharungi setiap cabaran, malah masih mampu tersenyum menghadapinya.

Jiwa tenang tidak mudah berputus asa, mengeluh dan berperasaan hasad dengki kerana semua sifat mazmumah itu boleh memusnahkan diri.

Semua cabaran kehidupan perlu dihadapi dengan sikap positif kerana perjuangan memupuk sifat terpuji akan melahirkan jiwa tenang. Dalam dunia moden ini, penyakit jiwa dikenali sebagai gangguan psikologi.

Ia memerlukan rawatan segera kerana kesannya amat buruk sekali kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Alangkah manisnya jika kita memiliki jiwa yang penuh dengan ketenangan dan ketenteraman.


Kegelisahan yang melanda diri seseorang menyebabkan mereka mengalami kebingungan. Ketika itu diri terasa tiada tempat lagi untuk mengadu.


Jiwa tak tenteram sebenarnya mempunyai sebab tersendiri. Antara sebab utamanya adalah melakukan dosa. Dosa adalah racun yang meracuni hati dan perasaan.

Maka kita mesti menjauhi segala kejahatan yang disebabkan daripada anggota badan. Tujuh anggota badan paling berpengaruh dalam melakukan dosa adalah mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, tangan dan kaki sehingga ada ulama yang mengatakan, Allah menciptakan tujuh neraka itu sebagai tempat menyeksa anggota yang melakukan dosa.

Mata hendaklah digunakan bagi melihat perkara yang baik dan indah, bukan yang haram atau yang lucah. Telinga mendengar yang baik-baik, bukannya mendengar sesuatu yang mengandungi nilai maksiat dan haram seperti mendengar umpatan dan fitnah.

Perut mesti diisi dengan makanan yang halal. Sebab yang menjadikan diri tidak tenang juga berpunca daripada hati kotor. Bukan saja dengan dosa tapi juga akhlak tercela.

Rasulullah bersabda maksudnya: "Sesungguhnya malaikat tidak masuk rumah yang ada anjing." Dimaksudkan dengan malaikat ialah ketenangan yang dibawa. Rumah pula ialah hati manakala anjing adalah menggambarkan sifat dan akhlak tercela.

Jika kita mempunyai akhlak tercela, hati bertindak sebagai rumah itu pasti menjadi kotor dan ketenangan tidak akan datang menjenguk.

Malaikat rahmat tidak akan berada di tempat tinggal mereka tetapi syaitan yang akan 'menetap'.

Sifat tercela membuatkan seseorang sering menjadi risau. Hasad dengki pula membuatkan mereka tidak suka melihat orang senang, bersifat takbur, ego serta sombong.

Itulah tekanan pertama dialami syaitan ketika kejadian Adam a.s kerana bimbang Adam menandinginya. Begitu juga ujub dan riak kerana sifat demikian berpunca daripada perasaan mereka mahu dilihat sempurna sedangkan orang lain dipandang rendah.

Begitu juga sifat bakhil atau kedekut. Mereka tidak akan pernah tenang, hatinya akan terikat dengan harta, cinta harta tak salah tapi kedekut itu buat orang gundah.

Cintakan kemasyhuran dan popular langsung tiada perasaan rendah diri, hati akan gelisah. Sifat pemarah membuatkan orang menjadi pendendam. Hanya rasa takut kepada Allah saja boleh menghilangkan rasa marah itu.

Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia bagaimana untuk merawat jiwa yang tidak tenteram. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi penasihat (pengajaran) daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin (jiwa) yang ada di dalam dada kamu serta menjadi petunjuk (hidayah) untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman." (Surah Yunus ayat 57).

Bahkan amalan membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran mampu mententeramkan jiwa. Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tidak berkumpul sesuatu kaum di dalam sesebuah rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca kepadanya Kitab Allah (al-Quran) dan membincangkannya bersama-sama, melainkan turun ke atas mereka 'as-sakinah' (ketenangan) dan diliputi mereka dengan rahmat dan dinaungi mereka oleh malaikat dan Allah menyebut amalan mereka itu di hadapan makhluk Allah yang ada di sisi-Nya." (Riwayat Bukhari )

Pergaulan bebas hampiri zina

DUNIA semakin canggih dengan pelbagai inovasi yang dihasilkan bagi kepentingan manusia. Namun, dalam kecanggihan kehidupan hari ini, kita tidak terlepas daripada masalah akhlak dan hilangnya nilai murni.

Ramai manusia hilang arah dalam membezakan antara perkara yang baik dan jelek serta perkara yang membawa faedah atau padah.

Disebabkan manusia berlumba mengejar kehidupan dunia yang jauh dari landasan ditetapkan Allah.

Kes pembuangan bayi tidak berdosa dilihat semakin meruncing. Namun, segelintir anggota masyarakat belum sedar padah yang bakal diterima jika masalah berkenaan terus berlaku dalam masyarakat.


Ia menunjukkan masyarakat hari ini lebih teruk daripada masyarakat zaman jahiliah. Pada zaman jahiliah mereka hanya membunuh anak perempuan kerana malu dan menganggap golongan itu lemah serta tidak setanding dengan anak lelaki yang boleh diajar untuk berperang.


Perkara berkenaan dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi daripada orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (dia beroleh anak perempuan sambil dia berfikir), adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah al-Nahl, ayat 58-59)

Namun, hari ini, tidak kira anak lelaki atau perempuan, yang lahir kerana dosa ibu bapanya, maka mereka dibunuh dengan kejam serta dinafikan hak menikmati kehidupan.

Antara sebab utama berlakunya masalah itu ialah masyarakat sendiri tidak mengambil berat hubungan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

Persepsi masyarakat hari ini menganggap hubungan bebas itu adalah cara hidup baru moden. Saban hari kita melihat gerak-geri anak muda di tengah-tengah kepesatan bandar, melakukan perkara dilarang Islam.

Berpegangan tangan, berpelukan, malah ada anak muda ini yang tidak segan
silu bercumbuan di depan khalayak ramai.

Semua itu adalah bibit permulaan dosa zina.

Sesungguhnya Allah mengingatkan kita sentiasa menjauhi perkara yang boleh membawa kepada zina. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, kerana sesungguhnya zina itu adalah fahishah (perbuatan yang keji) dan seburuk-buruk jalan (yang ditempuh oleh seseorang)” (Surah al-Isra’: ayat 32)

Fenomena terbabit sedikit sebanyak boleh diselesaikan jika setiap anggota masyarakat menjalankan tugas masing-masing dalam membanteras gejala keruntuhan moral itu.

Pihak berkuasa pula seharusnya perlu sentiasa mengingatkan golongan muda agar sentiasa menjaga tingkah laku mereka khususnya di khalayak umum.

Sikap ‘tidak mengapa’, ‘bukan keluarga kita’, ‘itu hal dia’ perlu dibuang kerana setiap individu Muslim bertanggungjawab mengajak melakukan amal makruf dan mencegah yang mungkar.

Peranan berkenaan menjadi lebih efektif jika ia mendapat sambutan pihak media. Media cetak atau elektronik seharusnya berganding bahu menyelesaikan masalah itu.

Ibu bapa berperanan besar memberi perhatian kepada anak di bawah jagaan mereka. Mereka perlu lebih bijak daripada anak-anak di mana mereka perlu kenal siapa yang berkawan dengan anaknya.

Sejak awal lagi Islam memberi garis panduan kepada ibu bapa iaitu melakukan pemisahan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan.

Didikan awal berkenaan memberi panduan bahawa lelaki tidak boleh bercampur dengan perempuan sebebas-bebasnya, walaupun dalam kalangan adik-beradik.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Perintahlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun. Pukullah mereka jika mereka meninggalkan solat pada usia 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka”. (Hadis riwayat Ahmad)

Contoh lain, Islam memberi penerangan yang jelas bahawa lelaki dan perempuan itu tidak boleh bercampur secara bebas ialah ketika keadaan saf wanita yang hampir dengan saf lelaki ketika solat berjemaah.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang paling hadapan dan yang paling buruk adalah yang paling belakang. Dan sebaik-baik saf bagi wanita adalah yang paling belakang, yang terburuk bagi mereka adalah yang paling depan.” (Hadis riwayat Muslim)

Begitulah indahnya Islam yang tetap menitik-beratkan hubungan antara lelaki dan perempuan, meskipun dalam suasana yang baik (dalam masjid).

Bukan setakat menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan saja, malah Islam turut menekankan perlunya menjaga batasan hubungan antara kaum sejenis.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak boleh seorang lelaki memandang aurat lelaki lain dan tidak boleh seorang wanita memandang aurat wanita yang lain, dan tidak boleh seorang lelaki bersama dengan lelaki lain dalam satu kain (selimut) dan tidak boleh seorang perempuan bersama dengan wanita lain dalam satu kain (selimut).” (hadis Riwayat Muslim)

Sesungguhnya, dosa zina itu adalah besar. Sarjana Islam sepakat bahawa dosa zina adalah antara dosa-dosa besar (al-kaba’ir). Ibnu ‘Abbas pernah berkata bahawa: “Dicabut cahaya (nur) keimanan di dalam zina.” (Riwayat Bukhari dalam kitab Fath al-Bari)

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ada tiga golongan (manusia) yang Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari Kiamat dan tidak mensucikan mereka dan tidak melihat kepada mereka, dan bagi mereka seksa yang sangat pedih, iaitu; orang tua yang berzina, raja yang pendusta (pembohong) dan orang miskin yang sombong.” (Hadis riwayat Muslim)

Bagi menjaga kelangsungan identiti umat Islam pada masa akan datang, pencegahan peringkat awal dengan cara yang ditetapkan Islam, adalah lebih baik daripada pemulihan pada peringkat yang tidak dapat dibendung lagi.

Walau bagaimanapun, anak yang lahir daripada dosa zina adalah tidak berdosa sama sekali. Sesungguhnya, setiap anak Adam itu tidak sesekali mewarisi dosa kedua orang tuanya.

Kata Hikmah

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia kepada-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya.

Tiada seorang pun daripada hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu lebih Aku cintai daripada ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya.Di samping itu, hendaklah sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga aku mencintainya.

Apabila Aku sudah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya; sebagai penglihatan yang ia melihat dengannya; sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya.

Seandainya ia memohon (sesuatu) daripada-Ku pasti akan Aku terima; dan seandainya (pula) ia memohon perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Followers

About Me

My photo
Nama Mohammad Faiz Bin Md Nor,Berasal dari Negeri Sembilan,menetap di Seremban,lahir pada 11 march 1988,bersekolah dahulu di Sekolah rendah kebangsaan Senawang,sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar,Tingkatan 6 di Sekolah Menegah Kebangsaan Seri Pagi dan pernah menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang sejarah...