Saturday, January 30, 2010

Jadilah Seorang Lelaki yang Beriman

Jadilah seorang lelaki yang beriman,
Yang hatinya disalut rasa taqwa kepada Allah,
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam,

Yang sentiasa haus dengan ilmu,
Yang sentiasa dahaga akan pahala,
Yang solatnya adalah maruah dirinya,
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar,
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu,
Yang sentiasa bersama kumpulan orang-orang yang berjuang di jalan Allah.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menjaga tutur katanya,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang,
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menghormati ibu bapanya,
Yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga,
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga,
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam,
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa bersedia untuk menjadi imam,
Yang hidup di bawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat-sifat Rasulullah,
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
Yang menjaga matanya dari berbelanja,
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak pernah membazirkan masa,
Matanya kepenatan kerana membaca al- Quran,
Suaranya lesu kerana penat berzikir,
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
Bangunnya Subuh penuh kecergasan,
Kerana sehari lagi usianya bertambah kematangan.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa mengingati mati,
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga,
Agar berputik tunas yang bakal menjaga baka yang baik,
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia,
Kerana dia mengimpikan syurga Allah yang hakiki.

10 Perangkap Syaitan

sumber: www.iLuvislam.com


ALLAH berfirman yang bermaksud: "Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah di neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.'' ( An-Nisa': 120-121).

Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing, sebenarnya ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian. Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya telah menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri. Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.

Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia, pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan manusia tersebut. Berlumba-lumbalah nanti para syaitan untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati tersebut dan memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah. Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan tersebut.


Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui sepuluh pintu:

1. Melalui sifat bohong dan angkuh

Dua sifat inilah yang amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.

2. Melalui sifat bakhil dan kedekut

Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan ALlah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.

3. Melalui sifat takbur dan bongkak

Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. ALlah Taala berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takbur.'' (An-Nahl:23)

4. Sifat khianat

Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi sebarang bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

5. Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat

Junjungan RasuluLlah s.a.w. selalu menasihati para sahabat baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan manusia yang dibenci Allah, iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.

6. Melalui sifat hasad

Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. RasuluLlah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering " (Riwayat Bukhari dan Muslim).

7. Melalui sifat suka meremehkan orang lain

Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa RasuluLlah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik iaitu orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil.'' (Riwayat Muslim).

8. Melalui sifat ujub atau bangga diri

Menurut Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang sahaja.'' (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

9. Melalui sifat suka berangan-angan

Islam adalah anti kemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian yang tinggi tetapi amat malas berusaha untuk memperolehnya.

10. Melalui sifat buruk sangka

Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. RasuluLlah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ``Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya.'' (Riwayat Muslim)

Thursday, January 14, 2010

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W

Wahai manusia,dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan.Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia,sepertimana kamu menganggap bulan ini,dan kota ini sebagai suci,maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah yang suci.

Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula.

Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu,dan Dia pasti membuat perhintungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba,oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Berwaspadalah terhadap Syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar,maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia,sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu,mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu,maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia,dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini,sembahlah Allah,dirikanlah sembahyang lima kali sehari,berpuasalah di bulan Ramadhan,dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah 'ibadah Haji' sekiranya kamu mampu.

Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah,bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia,tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru.

Oleh itu wahai manusia,nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara,yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya,nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendegar ucapanku,menyampaikannya pula kepada orang lain,dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendegar terus dariku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hamba Mu.

Wednesday, January 13, 2010

LELAKI ACUAN AL-QURAN

LELAKI ACUAN AL-QURAN
SEORANG LELAKI YANG BERIMAN
MEMILIH MUSLIM YANG BERTAQWA SEBAGAI JATI DIRI
HATINYA DISALUTI RASA TAQWA KEPADA ALLAH SWT
APABILA DISEBUT ASMA' ALLLAH..
GEMENTAR HATINYA, BERDEBAR JANTUNGNYA

LELAKI ACUAN AL-QURAN
SENTIASA HAUS DENGAN ILMU
SOLATNYA ADALAH MARUAH DIRINYA
TIDAK PERNAH GENTAR UNTUK BERKATA BENAR
TIDAK PERNAH LESU UNTUK MELAWAN NAFSU

LELAKI ACUAN AL-QURAN
TUTUR KATANYA AMAT DIJAGA
TIDAK PERNAH BERMEGAH DENGAN ILMUNYA
TIDAK PERNAH BERMEGAH DENGAN HARTA DUNIA YANG MENIPU
SENTIASA BERBUAT KEBAIKAN KERANA SIFAT PELINDUNGNYA
MEMPUNYAI RAMAI KAWAN
NAMUN TIDAK MEMPUNYAI MUSUH

LELAKI ACUAN AL-QURAN
LELAKI YANG MENGHORMATI IBU BAPANYA
BAKTI DIHULURKAN BUAT AYAHBONDA DAN SEKELUARGA
DIA BAKAL MENJAGA KEHARMONIAN RUMAHTANGGANYA
KELAK MEMBERIKAN BIMBINGAN DUNIA DAN AKHIRAT
BUAT ZAUJAH JUA PERMATA HATINYA
WASATIAH AMALAN HIDUPNYA
PENDORONG MENUJU RUMAHKU SYURGAKU
KERANA DUNIA BAGINYA HANYALAH
LADANG MENUJU AKHIRAT
JUA RUMAH SEMENTARA SAHAJA
MENUNGGU YANG NYATA DI AKHIRAT SANA


LELAKI ACUAN AL-QURAN
SENTIASA BERSEDIA UNTUK AGAMANYA
HIDUPNYA DISINARI CAHAYA NAUNGAN AL-QURANUL KARIM
SIFAT RASULULLAH MENJADI KETAATAN DIRINYA
BICARANYA ADALAH AMALANNYA
GERAK LAKUNYA ADALAH ILMUNYA


LELAKI ACUAN AL-QURAN
APABILA MENGHADAP WAJAHNYA KEPADA YANG PENCIPTA
BERDIRINYA PENUH TERTIB
RUKUKNYA PENUH TAWADHU'
SUJUDNYA PENUH KUSYUK
DUDUKNYA PENUH TASYAHHUD
DOANYA PENUH MALU

"YA ALLAH, ANDAINYA KEJAHATAN TAK KU LAKUKAN KERANA TAKUT AKAN
NERAKA-MU,
MAKA KAU CAMPAKKANLAH AKU KEDALAMNYA,ANDAINYA AKU MENGHARAPKAN
SYURGA-MU
KERANA PAHALA YG KAU JANJIKAN,MAKA KAU HARAMKANLAH KAKIKU MENJEJAK
SYURGA
DAMBAANKU ITU,TETAPI JIKA HIDUPKU MATIKU KERANA MENGHARAPKAN REDHA-
MU YA RABB,
MAKA JANGANLAH KAU MALAPKAN HATI INI KERANA HATI INI TELAH BERLABUH
UNTUK
SENTIASA TAAT DAN DEKAT DENGANMU,WAHAI RABBUL 'IZZATI.."

Thursday, January 7, 2010

Takwa dalam diri setiap orang Muslim

SABAN minggu kita diingatkan khatib dalam khutbahnya supaya meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Dalam peringatan itu khatib berkata, takwa boleh dicapai dengan melaksanakan semua perintah Allah serta menjauhi larangan-Nya.

Persoalannya sekarang, adakah kita benar-benar faham apa itu takwa atau disebabkan sering kali diingatkan lantas membuatkan kita menganggap takwa sebagai perkataan yang tidak membawa sebarang erti mendalam serta tidak berkaitan dengan iman.

Kepentingan takwa sebenarnya jelas apabila ia menjadi antara rukun khutbah yang perlu diberi perhatian. Meninggalkan peringatan untuk bertakwa kepada Allah dalam teks khutbah akan menyebabkan ia tidak sempurna.

Sebenarnya bagi mencapai takwa yang hakiki, bukan sekadar menghendaki kita melaksanakan perintah Allah serta meninggalkan larangan-Nya. Takwa memerlukan kita melakukan lebih daripada itu kerana ia membabitkan amalan roh dan jiwa.

Takwa membawa maksud berwaspada, berjaga-jaga dan takut kepadaNya dengan menjauhi segala laranganNya. Asal kepada perkataan 'ittaqa' itu juga membawa maksud menjadikannya pelindung daripada sesuatu perkara.

Jelaslah takwa bukan saja membawa maksud takut kepada Allah, malah sebagai pelindung dan pemelihara daripada sebarang perkara buruk, lebih-lebih lagi perkara yang boleh membawa kita tergolong di kalangan hambaNya yang rugi di akhirat nanti.

Ketinggian tahap takwa apabila ia dijadikan kayu ukur kepada pemilihan hamba Allah yang dipandang mulia di sisi-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Sebagai satu cara untuk mencapai takwa bagi kita yang mungkin boleh dikategorikan dalam golongan bawahan jika dimuhasabah dari segi tahap keimanan, beberapa perkara yang dikaitkan dengan takwa menerusi ayat al-Quran perlu diteliti antaranya:

# Berbuat baik sesama insan serta bermaaf-maafan

Ayat ini berkaitan dengan hubungan suami dan isteri yang bercerai.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan perbuatan kamu bermaaf-maafan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada takwa. Dan janganlah kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa juga yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah, ayat 237)

# Sentiasa berlaku adil

Allah menjelaskannya menerusi firman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Ma'idah, ayat 8)

# Melakukan amalan dengan keikhlasan

Allah menjelaskan perkara ini serta mengambil ibadah korban sebagai contoh, dalam firman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa dari kamu." (Surah al-Hajj, ayat 37)

# Melaksanakan perintah Allah dengan penuh kesabaran

Hal ini dijelaskan Allah melalui perintah solat bagi menggambarkan bahawa ibadat yang diperintahkan sememangnya memerlukan kesabaran dalam pelaksanaannya.

Gangguan syaitan dan dorongan nafsu manusia yang mengarah kepada keburukan akan sentiasa menjadi penghalang utama kepada pelaksanaan ibadat dan perintah Allah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan perintahlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa." (Surah Toha, ayat 132)

# Menjaga hak orang lain dan memenuhi janji

Firman Allah yang bermaksud: "Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertakwa." (Surah Ali-Imran, ayat 76)

Dapat disimpulkan sifat mahmudah atau terpuji haruslah sentiasa disemai dalam diri setiap individu Muslim bagi mencapai ketakwaan yang sebenar kepada Allah. Berbaik sangka sesama manusia, mudah memberi dan meminta maaf, sabar, adil, ikhlas, memenuhi janji, berkasih sayang, reda adalah amalan hati yang boleh membentuk peribadi terpuji serta prasyarat mencapai martabat golongan bertakwa.

Tanpa takwa yang sebenar dalam diri, segala perintah Allah yang dilaksanakan tidak membawa sebarang faedah dan manfaat kepada diri dan kehidupan dunia serta akhirat. Allah secara jelas menyatakan takwa seharusnya dijadikan pakaian diri setiap Muslim dan ia sebaik-baik pakaian.

Firman Allah bermaksud: "Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami sudah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya." (Surah al-A'raaf, ayat 26)

Taubat Dan Istighfar

A. Ayat-ayat tentang taubat :

Allah Ta'ala berfirman :
"Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kama berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. " (Az-Zumar: 53),

"Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya sendiri, kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. "(An-Nisa': 110).

"Dan Dia-lah yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan. "(AsySyuura: 25).

"Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang sebaik-baiknya, mudah-mudahan Tuhanmu akan menghapus kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. (At-Tahriim: 8).

'Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui. Mereka itu Balasannya ialah ampunan dari Tuhan mereka dan Syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya, dan itulah sebaik-baik pahala orang-orangyang beramal. "(Ali Imraan: 135-136).

Hadits-hadits tentang taubat :

1. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku beutaubat dalam sehari sebanyak 100 kali " (HR. Muslim).

Demikianlah keadaan Rasulullah SAW, padahal beliau telah diampuni dosa-dosanya, baik yang dulu mahupun yang akan datang. Tetapi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah hamba yang sangat bersyukur, pendidik yang bijaksana, pengasih dan penyayang. Semoga selawat dan salam yang sempurna dilimpahkan Allah kepada baginda.

2. Abu Musa radhiallahu 'anhu meriwayatkan dari Nabi shallallahu 'alaihi wasallam :
"Sesungguhnya Allah membentangkan Tangan-Nya pada malam hari agar bertaubat orang yang berbuat jahat di siang hari dan Dia membentangkan Tangan-Nya pada siang hari agar bertaubat orang yang berbuat jahat di malam hari, sehingga matahari terbit dari Barat (Kiamat). "(HR. Muslim)

3. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasalkam bersabda:
"Barangsiapa bertaubat sebelum matahari terbit dari Barat, nescaya Allah menerima taubatnya. " (HR.Muslim)
Sebab jika matahari telah terbit dari Barat maka ,pintu taubat serta merta ditutup.

Demikian pula tidak ada gunanya taubat seseorang ketika dia hendak meninggal dunia. Allah berfirman :
"Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan: 'Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini .' (An- Nisaa': 18)

4. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba, selama (nyawanya) belum sampai di kerongkongnya. " (HR· At-Tirmidzi, dan ia menghasan-kannya).

Kerana itu setiap muslim wajib bertaubat kepada Allah dari segala dosa dan maksiat di setiap waktu dan kesempatan sebelum ajal mendadak menjemputnya sehingga ia tak lagi memiliki kesempatan, lalu baru menyesal, meratapi atas kelengahannya. Dan sungguh, tak seorang pun meninggal kecuali ia menyesal. Jika dia orang baik, maka ia menyesal mengapa dia tidak memperbanyak kebaikannya, dan jika ia orang jahat maka ia menyesal mengapa ia tidak bertaubat, memohon ampun dan kembali kepada Allah.

5. Dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhu, ia berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

"Barangsiapa senantiasa beristighfar, nescaya Allah menjadikan untuk setiap kesedihannya ada kelapangan dan untuk setiap kesempitannya ada jalan keluar, dan akan diberi-Nya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka. " (HR. Abu Daud) (Lihat kitab Lathaa'iful Ma'arif, oleh Ibnu Rajab, hlm. 172-178 )

Imam Al-Auza'i ditanya: "Bagaimana cara beristighfar? Beliau menjawab: "Hendaknya mengatakan : "Astaghfirullah, astaghfirullah. " ertinya, aku memohon ampun kepada Allah swt.

6. Anas radhiallahu 'anhu meriwayatkan, aku mendengar Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, Allah berfirman :
"Allah Ta'ala berfirman:"Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau memohon dan mengharap kepadaku, nescaya Aku ampuni dosa-dosamu yang lalu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu sampai ke awan langit, kemudian engkau memohon ampun kepadaku, nescaya Aku mengampunimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepadaku dengan dosa-dosa sepenuh bumi dan kamu menemuiKu dalam keadaan tidak menyekutukanku dengan sesuatu pun, nescaya Aku datangkan untukmu keampunan sepenuh bumi (pula). " (HR. At-Tirmidzi, ia berkata hadits ini hasan),

Dalam hadits di atas disebutkan tiga sebab mendapatkan ampunan :

1. Berdo'a dengan penuh harap.
2. Beristighfar, iaitu memohon keampunan kepada Allah.
3. Merealisasikan tauhid serta menjauhi dari berbagai bentuk syirik, bid'ah dan kemaksiatan.


Hadits di atas juga menunjukkan luasnya rahmat Allah, ampunan, kebaikan dan anugerah-Nya yang banyak.


Ibn Abbas r.a. ketika menerangkan ayat (Yang berbunyi): "Ya ayyuhal ladzina amanu tubu ilallahi taubatan nashuha." (Yang bermaksud): "Hai orang yang beriman, taubatlah kamu kepada Allah taubat yang nashuh (Sesungguh-sungguhnya)." Iaitu menyesal dalam hati dan istighfar dengan lidah dan niat tidak akan mengulangi lagi selamanya. Ada riwayat bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Istighfar hanya dengan mulut sedang tetap terus berbuat dosa bagaikan mempermainkan Tuhannya."


Rabi'ah al-Adawiyah berkata: "Istighfar memerlukan kepada istighfar yang banyak, iaitu istighfar dengan lidah sedang hatinya niat akan mengulangi perbuatan dosanya, maka taubatnya ialah taubat orang yang dusta dan ini tidak bernam taubat sebab syarat taubat ini ada tiga iaitu:
• Menyesal dalam hati
• Istighfar dengan lidah
• dan niat tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi.


Jika demikian maka pasti Allah s.w.t. mengampunkan baginya walau bagaimana besarnya dosa itu sebab Allah s.w.t. itu suka memaafkan pada hambaNya.
Seorang Hakiem berkata: "Taubat seorang akan ternyata dalam empat macam iaitu:

• Jika telah dapat mengendalikan lidahnya daripada dusta, ghibah dan kata-kata yang tidak penting baginya
• Jika sudah tidak ada rasa hasad, dengki, iri hati terhadap semua manusia
• Jika telah menjauhi teman-teman yang busuk dan
• Selalu siap menghadapi maut, rajin dalam taat dan selalu istighfar menyesali dosa.


Seorang Hakiem ditanya: "Apakah ada tanda bahawa taubat itu telah diterima?" Jawabnya: "Ya, ada empat tanda iaitu:

• Putus hubungan dengan kawan-kawan yang tidak baik dan bersahabat dengan orang-orang solihin
• Menghentikan semua maksiat dan rajin melakukan taat
• Hilang rasa kesenangan kepada dunia kepada hatinya dan selalu ingat kesusahan akhirat
• Percaya pada jaminan Allah s.w.t. dalam soal rezeki, lalu sibuk mengerjakan perintah Allah s.w.t.


Maka bila terdapat semua sifat itu ia termasuk pada ayat yang berbunyi: "Innallaha yuhibbuttawwabina wa yuhibbul metathahirin. (Yang bermaksud): "Sesungguhnya Allah kasih pada orang yang taubat dan kasih pada orang yang suka bersuci." Kemudian ia berhak dari orang-orang empat macam iaitu:

• Mereka cinta kepadanya kerana Allah telah cinta kepadanya
• Mereka akan memeliharanya dengan selalu mendoakannya
• Mereka lupa terhadap dosa-dosanya yang lalu
• Mereka selalu mendekat dan membantu serta mendekatinya


Dan Allah s.w.t. akan memuliakannya dengan empat macam perkara iaitu:
• Melepaskannya dari dosa sehingga seolah-olah tidak pernah berdosa
• Dicintai Allah s.w.t.
• Dipeliharanya dari gangguan syaitan laknatullah
• Diamankan dari rasa takut sebelum keluar dari dunia

Syaitan cetus sifat marah

MARAH satu daripada sifat tercela (mazmumah) yang dibenci Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Perasaan marah yang gagal dikawal sebenarnya boleh menimbulkan sifat keji lain seperti dendam, dengki, sombong dan angkuh.

Gagal mengawal emosi atau cepat naik angin biasanya berlaku ketika seseorang itu hilang pertimbangan.Memang benar ada yang mengatakan 'aku sudah meletup, memang aku tak boleh buat apa-apa.' Tetapi lebih baik kita belajar menenangkan diri sebelum menghamburkan sebarang bentuk perkataan kepada pihak lain.

Selain itu, melihatkan status diri sebagai insan yang berakal membolehkan kita menilai dulu sesuatu perkara sebelum melakukan sebarang tindakan yang bersandarkan desakan emosi semata-mata.

Ketika dalam keadaan marah, manusia sebenarnya dikuasai syaitan yang akhirnya akan berlaku suasana tegang seperti kawan bertengkar sesama kawan atau anak mengherdik ibu bapanya.

Allah s.w.t berfirman bermaksud:

"Dan Tuhanmu (Allah ) perintah, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'uh', dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan mulia (yang bersopan-santun)." (Surah al-Israk ayat 23).

Tidak kurang juga sifat marah yang timbul sesama kita, lebih-lebih lagi jika tiada persefahaman dalam sesuatu perkara. Satu pihak mula marah dengan pihak lain dan seterusnya mula timbul tuduh menuduh dan berprasangka buruk sesama sendiri.

Lebih buruk, jika perasaan marah itu gagal ditenteramkan walaupun sebelah pihak mungkin sedaya upaya mententeramkan keadaan.

Sebagai umat Islam, Nabi Muhammad s.a.w menganjurkan kita beberapa teknik bagi mengawal perasaan marah.

Cara terbaik dengan mengeluarkan kata-kata berhikmah. Kata-kata yang baik terbit daripada hati yang suci dan boleh menjadi pedoman kepada manusia.

Dari satu sudut lain, sifat pemarah senjata bagi menjaga hak dan kebenaran. Justeru, seseorang yang tidak mempunyai sifat marah akan dizalimi serta dicerobohi haknya.

Tetapi perkara tercela adalah sifat marah yang tidak kena pada tempatnya. Justeru, sebelum mengeluarkan kata-kata yang tidak elok ditutur, lebih baik sekiranya segera beristighfar.

Namun, kita sebenarnya tidak boleh menjadikan marah itu sebagai ukuran tepat untuk menggambarkan perasaan tidak puas hati.

Kita masih mempunyai masa bagi mengawal percakapan daripada menuturkan kata-kata berunsur herdikan, cacian seterusnya membibitkan perasaan marah yang tiada taranya.

Ini kerana setiap manusia mempunyai hati dan perasaan yang perlu dijaga. Kita sebenarnya tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil jalan 'pintas' iaitu terus memarahi tanpa menyelidiki pokok pangkalnya. Sudah tentu, tindakan marah kita itu akan menjadi sia-sia serta menjarakkan hubungan persaudaraan.

Walaupun orang yang dimarahi itu melakukan kesilapan, sekurang-kurangnya mereka perlu memberi peluang daripada melemparkan perasaan marah berkenaan.

Marah boleh, tetapi jangan menjadi orang yang mempunyai sifat pemarah. Sebenarnya, apa yang terkandung daripada sifat marah itu perasaan benci terutama jika emosi menebal itu gagal dikawal sehingga terhambur perkataan cabar mencabar sehingga sanggup memberi ancaman kecederaan dan bunuh kepada individu lain.

Rasulullah s.a.w menganjurkan umatnya supaya tidak menjadi seorang yang pemarah seperti diriwayatkan Abu Hurairah, ada seorang lelaki berkata kepada Rasulullah:
"Berpesan kepadaku! Baginda berkata: Jangan marah. Orang itu mengulangi lagi beberapa kali minta supaya dipesan. Namun baginda masih tetap berkata: Jangan marah!" (Riwayat al-Bukhari).

Bagi mengubati penyakit marah ini, Islam mengajar umatnya menahan diri ketika marah dan sabar apabila melawan hawa nafsu yang meluap-luap itu.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang menggelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah)." (Riwayat al-Tirmidzi).

Sebenarnya, sifat marah itu dicetuskan syaitan yang dijadikan daripada api. Oleh itu ingatlah api itu boleh dipadamkan dengan air. Apabila seseorang itu sedang marah, sebaiknya dia hendaklah segera berwuduk, kerana air yang disapukan pada anggota wuduk bukan saja dapat menjauhkan diri daripada godaan dan hasutan syaitan, malah ia dapat menyejukkan muka dan anggota badan kita yang 'membara' akibat marah itu.

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: "Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api." (Riwayat Abu Daud).

Mereka yang dapat menahan dirinya daripada dikuasai sifat marah akan mendapat ganjaran setimpal dengan usahanya. Rasulullah bersabda bermaksud: "Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga." (Riwayat al-Bukhari).

Sekiranya kita dimarahi, janganlah pula menambah buruk lagi keadaan. Kita harus memainkan peranan bagi memadamkan api kemarahan itu.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang yang menjauhi dosa besar serta perbuatan keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya." (Surah al-Syura ayat 37).

Antara langkah untuk mengawal dan mendidik diri supaya lebih bersifat tenang:

# Cuba pertimbangkan keadaan yang menyakiti hati itu. Fikirkan sama ada kemarahan kita itu mempunyai alasan kukuh atau tidak.

# Jangan menyalahkan orang lain. Beri tumpuan kepada punca sebenar yang mencetuskan kemarahan kerana ia mungkin juga berpunca daripada diri kita sendiri.

# Perbaiki keadaan selepas kita berada dalam keadaan tenang dan terkawal. Jangan lepaskan kemarahan kepada orang lain semata-mata kerana tidak puas hati dengan individu lain.

# Dapatkan rehat dan tidur secukupnya selain makan makanan berkhasiat kerana apabila badan letih, ia akan menyebabkan seseorang itu lebih cepat naik marah.

# Amalkan senaman ringkas selama beberapa minit setiap hari bagi mengurangkan ketegangan.

# Jadi seorang pendengar yang baik. Sifat orang pemarah adalah dia sangat sukar mendengar pendapat orang lain kerana merasakan tindakan serta pendapatnya mengatasi orang lain.

# Jauhi amalan yang menjadi punca perkelahian seperti suka merendah-rendahkan, memperlekeh serta mengherdik orang lain lalu digantikan dengan sifat memuliakan orang.

# Amalkan bacaan A'uzubillah himinasyaitaannirrajiim (Aku berlindung kepada Allah s.w.t daripada syaitan direjam) selain tidak meninggalkan solat kerana di dalamnya terdapat kesan hebat yang boleh menerbitkan perasaan tenang jika diamalkan dengan sepenuh ikhlas.

Wednesday, January 6, 2010

Garis panduan hiburan dalam Islam

Garis Panduan Hiburan Dalam Islam ini disediakan untuk memberi panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan merangkumi nyanyian, muzik, tarian dan lain-lain. Garis Panduan ini juga akan dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat awam yang menyertai persembahan rancangan hiburan.

Pada dasarnya Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a yang bermaksud:

“Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” (Riwayat Ibnu Majah)


Berdasarkan Hadis tersebut, nyatalah bahawa hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Ini dinyatakan oleh al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hal. 273).

2.2 Dalam membincang isu ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dalam persidangan kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:

a) Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat[1], tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah[2] adalah harus;

b) Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;

c) Pancaragam yang melalaikan[3] hukumnya haram;

d) Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan

e) Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.

Garis panduan yang memisahkan sama ada hiburan itu boleh atau sebaliknya menurut Islam adalah sejauh mana hiburan tersebut mencapai maksud dan prinsip Islam yang menekankan ke arah kesejahteraan umat manusia.

Antara garis panduan tersebut adalah seperti berikut;

a) Program Hiburan

i. Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.

ii. Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan orang ramai.

iii. Mengambilkira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam.

iv. Tidak disertai oleh perbuatan-perbuatan haram atau maksiat.

v. Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.

vi. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

b) Persembahan Muzik

i. Tidak menimbulkan gerakgeri liar.

ii. Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.

iii. Tidak melalaikan.

c) Lirik

i. Kalimah syahadah dalam bahasa Arab hendaklah disempurnakan.

ii. Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, perkataan lucah, menggambarkan arak, dan memberi perangsang melakukan dosa.

iii. Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan kepada makhluk dan peribadi.

iv. Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan yang melanggar adab kesopanan dalam Islam.

v. Tidak mengandungi ungkapan yang melanggar akidah dan syariat Islam.

vi. Tidak mengandungi unsur mengutuk nasib dan lucah.

vii. Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya.

viii. Tidak boleh menjadikan teks al-Quran sebagai lirik.

d) Persembahan Artis

i. Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.

ii. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

iii. Tidak melakukan gerak geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.

iv. Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.

e) Persembahan Tarian

i. Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.

ii. Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.

iii. Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.

iv. Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.

v. Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.

f) Tanggungjawab Penganjur

Penganjur hendaklah mempastikan acara hiburan yang dianjurkan menepati garis panduan yang telah disediakan.

Kesimpulannya, garis Panduan ini diharap memberikan panduan kepada pihak yang terlibat dalam industri hiburan. Ia juga dijadikan usaha untuk mewujudkan masyarakat yang dapat mengamal dan menikmati hiburan berteraskan nilai-nilai akhlak dan syariat Islam.

RUJUKAN

1. Mausu’ah al-Fiqhiyyah, Wizaratul Auqaf Wa al- Syu’un al-Islamiah,Cetakan Pertama, 1995, Kuwait.

2. Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Quran, Syeikh Abdullah bin Mohamad Basmeih, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

3. Al-Halal wa al- Haram fi al-Islam, Syeikh Yusuf al-Qardhawi, al-Maktab al-Islami, Cetakan ke-15, Beirut 1994.

4. Kamus Dewan, Edisi Baru, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991.

5. Garis Panduan Muzik, Nyanyian dan Seni Menurut Pandangan Islam, Bahagian Penyelidikan, JAKIM.

6. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-2 pada 12 – 13 Mei 1981.

7. Garis Panduan Penyiaran, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Sumber dari Jakim

Ciri-ciri MANUSIA UNGGUL

Manusia unggul adalah mereka yang memenuhi ciri-ciri individu Islam yang sebenarnya menurut kehendak Al-Quran dan as-Sunnah dalam seluruh aspek kehidupan. Bagi mewujudkan manusia unggul, seseorang itu hendaklah memiliki ciri-ciri keunggulan iaitu keimanan yang utuh, amal ibadat yang meliputi ibadat khususiah dan fardhu kifayah dan akhlak mulia yang merupakan cermin keimanan dan amal salih.

1. Keimanan Yang Utuh

Keimanan kepada Allah swt adalah paksi pembinaan negara dan ummah. Dengan keimanan itu akan lahirlah individu yang unggul dan masyarakat yang berbudi luhur, berdisiplin dan beramanah demi kebaikan dunia dan akhirat.

Allah swt berfirman dalam surah al-Asr:
' Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal salih yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran'.
( Surah al-Asr : 1-3 )
dalam ayat ini Allah swt menjelaskan bahawa manusia yang beruntung ialah mereka yang beriman dan beramal salih.

Beriman kepada Allah adalah proses peralihan jiwa manusia daripada menganggap dirinya bebas daripada sebarang kuasa dan ikatan serta tanggungjawab kepada ketundukan mengaku tanpa syarat bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah. Iman merangkumi tiga unsur utama, pengetahuan yang mendalam, kepercayaan yang jitu dan keyakinan yang teguh. Ketiga-tiga unsur ini akan membentuk iman yang kukuh yang menjadi tonggak kekuatan rohaniyah yang cukup kental untuk membina jiwa dan jasmani manusia. Keteguhan iman juga merupakan penghalang daripada melakukan kejahatan dan maksiat.

2. Pelaksanaan Amal Ibadat

Keimanan tanpa ketaatan melalui amal ibadat adalah sia-sia. Seseorang yang berperibadi unggul akan tergambar jelas keimanannya melalui amal perbuatan dalam kehidupan sehariannya. Bahkan jika dikaji tujuan Allah menjadikan manusia itu sendiri ialah supaya beribadat kepada-Nya.

Firman Allah swt :
' Tidak Aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat'.
( Surah az-Zariat : 56 )

Ibadat adalah bukti ketundukan seseorang hamba setelah mengaku beriman kepada Tuhannya. Ibadat yang dimaksudkan di sini termasuklah ibadat khususiah yang menyentuh fardhu ain dan juga fardhu kifayah yang merangkumi hubungan manusia sesama manusia.

Justeru itu, bagi individu yang berperibadi unggul, seluruh hidupnya baik hubungannya dengan Pencipta ataupun masyarakat adalah dianggap ibadat.

Allah swt berfirman:
' Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang yang khusyu’ dalam sembahyangnya, orang yang menjauhkan dirinya (dari perbuatan) yang tidak berguna, orang yang menunaikan zakat dan orang yang menjaga kehormatannya kecuali terhadap isteri-isterinya atau hamba yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela'.
( Surah al-Mukminun : 1-6 )

3. Akhlak Mulia

Akhlak mulia bagi peribadi unggul adalah hasil keimanan yang kental. Ini disebabkan tali ikatan yang menjalinkan hubungan antara individu dengan masyarakat terbentuk melalui nilai-nilai dan disiplin yang diamalkan oleh anggota masyarakat tersebut.
Sekiranya nilai yang diamalkan itu positif maka akan lahirlah sebuah masyarakat yang aman, damai, harmoni dan diselubungi roh Islam. Umat Islam mestilah mencontohi Rasulullah saw dalam pembentukan akhlak.

Dalam sebuah hadith, baginda saw bersabda,
'Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia'.
( Riwayat Ahmad )

Beberapa nilai yang baik dalam akhlak Islam yang menjadi tonggak amalan bagi melahirkan individu unggul ialah:

a) Amanah

Amanah adalah sifat mulia yang mesti diamalkan oleh setiap orang. Ia adalah asas ketahanan umat, kestabilan negara, kekuasaan, kehormatan dan roh kepada keadilan.

Firman Allah swt:
' Maka tunaikanlah oleh orang yang diamanahkan itu akan amanahnya dan bertaqwalah kepada Allah, Tuhannya'.
( Surah al-Baqarah : 283 )

b) Ikhlas

Ikhlas adalah inti setiap ibadah dan perbuatan. Firman Allah swt:
' Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya '.
( Surah al-Bayyinah : 5 )

Ikhlas akan menghasilkan kemenangan dan kejayaan. Masyarakat yang mengamalkan sifat ikhlas akan mencapai kebaikan dunia dan akhirat, bersih daripada sifat kerendahan dan mencapai perpaduan, persaudaraan, perdamaian dan kesejahteraan.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud,
' Bahagialah dengan limpahan kebaikan bagi orang-orang yang bila dihadiri (berada dalam kumpulan) tidak dikenali, tetapi apabila tidak hadir tidak pula kehilangan. Mereka itulah pelita hidayat. Tersisih daripada mereka segala fitnah dan angkara orang yang zalim'.
( Riwayat Imam al-Baihaqi )

c) Tekun

Islam menggalakkkan umatnya supaya tekun apabila melakukan sesuatu pekerjaan sehingga selesai dan berjaya.

Sabda Rasulullah saw,
' Sesungguhnya Allah swt menyukai apabila seseorang kamu bekerja dia melakukan dengan tekun'.
( Riwayat Abu daud )

Sifat tekun akan meningkatkan produktiviti ummah, melahirkan suasana belajar atau berkerja yang aman serta memberi kesan yang baik kepada masyarakat.

d) Berdisiplin

Berdisiplin dalam menjalankan sesuatu perkerjaan akan dapat menghasilkan mutu kerja yang cemerlang. Hasrat negara untuk maju dan cemerlang akan dapat dicapai denga lebih cepat lagi.Dengan berdisiplin seseorang itu akan dapat menguatkan pegangannya terhadap ajaran agama dan menghasilkan mutu kerja yang cemerlang.

e) Bersyukur

Bersyukur dalam konteks peribadi unggul berlaku dalam dua keadaan:

1. Syukur sebagai tanda kerendahan hati terhadap segala nikmat yang diberikan oleh Pencipta sama ada sedikit atau banyak.

2. Bersyukur sesama makhluk sebagai ketetapan daripada Allah swt supaya kebajikan sentiasa dibalas dengan kebajikan.

Allah swt berfirman:
' Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur maka Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah keras'.
( Surah Ibrahim : 7 )

f) sabar

Di dalam menghadapi cabaran hidup, kesabaran amat penting untuk membentuk peribadi unggul seperti yang dikehendaki Allah swt.

Firman Allah swt :
' Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya'.
(Surah Ali Imran :ayat 200)

g) Adil

Adil bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Para ulama membahagikan adil kepada beberapa peringkat iaitu adil terhadap diri sendiri, orang bawahan, pemimpin atasan dan juga sesama saudara.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud,
'Tiga perkara yang menyelamatkan iaitu takut kepada Allah ketika bersendirian dan di khalayak ramai, berlaku adil pada ketika suka dan marah dan berjimat cermat ketika susah dan senang; dan tiga perkara yang membinasakan iaitu mengikut hawa nafsu, terlampau bakhil dan kagum seseorang dengan dirinya sendiri'.
(Riwayat Abu Syeikh)

sumber Oleh : Bahagian Penerbitan, JAKIM

Muhasabah diri

MENDEKATI detik terakhir penghujung tahun ini, sememangnya agak gementar mengimbas kembali catatan kealpaan diri sepanjang tahun. Orang mukmin yang jujur suka mengorek rahsia hatinya dengan mencari kelemahan dan menangisi kerugian yang ditanggung. Mereka merumuskan makna kejayaan dan peningkatan pencapaian sebenar bagi setiap tahun dalam kehidupan mengikut kacamata agama.

Sesungguhnya peningkatan agama bergantung dengan ibadat, peningkatan harta kerana pandai merancang dan berjimat, peningkatan ilmu kerana mengkaji, peningkatan akhlak kerana lemah lembut dan mengawal emosi, peningkatan dalam hubungan sesama manusia kerana membuang sifat sombong dan riak, peningkatan kesabaran hati kerana banyaknya musibah, peningkatan kualiti diri kerana disiplin yang kuat.

Kelemahan diri pula menjadi agenda yang paling penting untuk diinsafi setiap masa, misalnya ketika kita kekurangan harta akibat nafsu membeli-belah yang tinggi dan tidak pandai merancang. Sewaktu ditimpa surutnya cahaya di hati kerana malas beribadah dan meninggalkan ilmu. Kerasnya jiwa kerana jauh dari al-Quran dan Sunnah Rasul-Nya. Berkurangnya kawan dan renggang ikatan persaudaraan kerana suka menambah musuh, takbur, menunjuk-nunjuk dan berdengki. Bertambahnya penyakit kerana banyak makan, malas, berehat dan berhibur secara berlebihan. Berkurangnya umur dan sedikitnya bekalan ke akhirat juga menunjukkan betapa ruginya manusia sepanjang tahun ini.

Saat bermuhasabah tidaklah terbatas hanya pada hujung tahun, kerana Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk sentiasa mengakui kelemahan diri melalui firman Allah yang bermaksud:

"Orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji yang selain dari kesalahan-kesalahan kecil. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas ampunan-Nya dan Dia lebih mengetahui (tentang keadaan) mu ketika Dia menjadikan kamu dari tanah dan ketika kamu masih janin dalam perut ibumu. Maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa." (Surah al-Najm: 32)

Jangan sesekali menganggap diri sudah berjaya sebelum benar kepastiannya mengenai pintu syurga atau neraka yang akan dimasuki. Sepanjang kehidupan yang kita lalui di dunia, banyak kemungkinan akan terjadi. Berubahnya hati dan turun naiknya iman, pasang surutnya amalan dan bertambah atau berkurangnya dosa dan pahala. Hakikatnya ramai yang menjadi tawanan hawa nafsu dan sedikit saja orang yang selamat. Layakkah kita menjadi golongan yang sedikit itu?

Suatu hari Ibnul Qayyim Al-Jauziyah menziarahi gurunya Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah yang sedang dipenjara dan difitnah musuh-musuhnya. Melihat keadaan gurunya itu beliau pun menangis.

Ibnu Taimiyah berkata: "Apakah kamu menangis melihat keadaanku? Demi Allah, wahai anakku, aku bukan seorang tawanan. Sesungguhnya orang yang menjadi tawanan itu sebenarnya adalah orang yang menahan hatinya dari ikatan Tuhannya membiarkan hawa nafsunya menawannya."

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Terangkanlah kepadaku akan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya." (Surah Al-Furqan: 43)

Mulakan muhasabah ini dengan melihat sejauh mana kekuatan hawa nafsu mempengaruhi diri. Betapa hebatnya cengkaman hawa nafsu terhadap jiwa raga kita sehingga kedudukannya boleh jadi setaraf dengan Tuhan dalam pandangan manusia yang lalai. Bahkan Baginda pernah memberi nasihat kepada seorang sahabat supaya berwaspada dengan jerat nafsu.

Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Rabi'ah, mintalah kepadaku". Aku berkata: "Wahai Rasulullah biar aku fikirkan sebentar. Lalu aku mengingat-ingat dunia serta kefanaannya sehingga aku berkata: "Aku tidak akan meminta kecuali akhirat. Kemudian aku mendatangi Baginda SAW dan berkata: "Aku meminta supaya aku boleh menemanimu di syurga. Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Rabi'ah adakah yang selain dari itu? Aku menjawab: Itu saja. Maka Rasulullah SAW bersabda lagi: Berjanjilah untuk kamu mengendalikan hawa nafsumu dan banyakkan sujud (nescaya kamu akan menemaniku di syurga)." (Muslim)

Hawa nafsu boleh dilemahkan jika manusia berdisiplin memeranginya. Satu kata kunci untuk kejayaan adalah disiplin. Ia wujud dalam sistem ibadat kita, solat lima waktu dan solat sunat, puasa, haji, zakat dan sedekah. Zikrullah dengan terang ataupun tersembunyi, memelihara al-Quran sentiasa hidup di dalam hati dan melaksanakan sunnah Rasul adalah disiplin. Mengisi masa dengan amal, menguasai dunia demi akhirat memerlukan disiplin yang tinggi.

Ibnu Al-Qayyim pernah berkata: "Wahai orang yang lemah semangat! Sesungguhnya di atas jalan ini Nuh menjadi tua, Yahya dibunuh, Zakaria digergaji, Muhammad diseksa dan anda pula inginkan Islam datang dengan mudah di bawah kakimu?"

Selepas meneliti kuasa hawa nafsu dalam diri dan mengakui cengkamannya yang melemahkan amal salih maka langkah yang kedua ialah menentukan azam baru untuk memerangi, merancang jalan mana yang mahu ditempuhi, lebih tajam membuat siasat perang dan berwaspada dengan muslihat musuh setiap saat.

Musuh manusia yang paling licik berada di sekelilingnya. Ia tidak memilih apakah orang itu alim atau jahil, ahli ibadat atau ahli maksiat, mukmin atau kafir. Syaitan tetap syaitan, semua orang dipengaruhi syaitan masing-masing. Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya syaitan itu mengalir di dalam tubuh anak Adam laksana mengalirnya darah dan sesungguhnya aku bimbang dia akan menimbulkan di dalam hati kamu sesuatu yang jahat." (Al-Bukhari dan Muslim)

Setiap konflik yang muncul dalam pergaulan manusia kerana dengki, dendam dan sombong, perselisihan suami dan isteri, terputusnya ikatan sanak saudara, anak menderhaka, orang tua tidak amanah, orang kaya tamak, pemimpin zalim serta lalai dan kufurnya manusia terhadap Allah SWT, semua itu berpunca daripada hasutan syaitan akibat diri menjadi tawanan nafsu.

Orang mukmin sentiasa mengingati diri mereka supaya berlindung dari gangguan syaitan, mengenali bahawa kejahatannya itu adalah hasil kerja syaitan dan cepat-cepat kembali bertaubat dan berwaspada supaya tidak tertipu lagi dengan kenikmatan yang dijanjikan syaitan. Oleh kerana sifat dosa adalah nikmat sesaat manakala pahala pula bersifat susah, perit dan seksaan maka ramailah yang kecundang dalam memilih.

Tetapi bagi orang mukmin, seksaan melawan hawa nafsu dan syaitan itu sedikit demi sedikit berubah menjadi nikmat jiwa yang paling bernilai yang tidak pernah dirasai orang fasik lagi lalai. Nikmatnya seakan-akan di dalam syurga walaupun mereka masih berada di dunia lagi.

Ibnu Taimiyah berkata: "Sesungguhnya di dunia ini ada syurga, sesiapa yang belum masuk ke dalamnya dia tidak boleh masuk syurga akhirat. Murid-muridnya bertanya: "Apakah syurga dunia itu? Beliau berkata: "Syurga mengenal Allah, mencintai-Nya, merindu dan berlemah-lembut kepada-Nya."

Penulis ialah Mufti Perlis

Kata Hikmah

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia kepada-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya.

Tiada seorang pun daripada hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu lebih Aku cintai daripada ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya.Di samping itu, hendaklah sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga aku mencintainya.

Apabila Aku sudah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya; sebagai penglihatan yang ia melihat dengannya; sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya.

Seandainya ia memohon (sesuatu) daripada-Ku pasti akan Aku terima; dan seandainya (pula) ia memohon perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Followers

About Me

My photo
Nama Mohammad Faiz Bin Md Nor,Berasal dari Negeri Sembilan,menetap di Seremban,lahir pada 11 march 1988,bersekolah dahulu di Sekolah rendah kebangsaan Senawang,sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar,Tingkatan 6 di Sekolah Menegah Kebangsaan Seri Pagi dan pernah menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang sejarah...