Tuesday, November 9, 2010

Iman penentu soalan kubur

Bagaimanakah gambaran nikmat dan seksaan di alam barzakh?

Banyak nas al-Quran dan hadis menerangkan hal ini. Antaranya adalah firman Allah yang bermaksud: Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang yang benar? Kesudahannya jika ia (yang mati itu) dari orang Muqarrabiin. Maka (ia akan beroleh) rehat kesenangan, dan rahmat kesegaran, serta syurga kenikmatan. Dan jika ia dari puak kanan. Maka (dikatakan kepadanya): Selamat sejahteralah kepadamu, (kerana engkau) dari puak kanan.Dan jika ia dari (puak kiri) yang mendustakan (Rasulnya), lagi sesat. Maka sambutan yang disediakan baginya adalah dari air panas yang menggelegak. Serta bakaran api neraka. (al-Waaqiah: 87-94)

Sebahagian ulama berkata yang disoal dalam kubur hanyalah orang mukmin atau munafik. Adapun orang kafir tidak disoal. Hadis yang mengatakan orang kafir akan disoal, dimaksudkan orang itu adalah yang batinnya kafir yakni pada zahirnya Islam.

Ulama juga mengatakan berdasarkan hadis-hadis tersebut, difahami bahawa soalan-soalan yang dikemukakan di dalam kubur adalah berbeza-beza antara seorang dengan yang lain. Ada manusia yang ditanya tentang sebahagian akidah, yang lain tentang keseluruhannya, ada yang ditanya sekali sahaja dan ada pula yang ditanya berkali-kali.

Yang bertanya itu pula adalah salah seorang daripada dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir. Keduanya dikatakan menggerunkan dan menakutkan.

Semua kita sudah tahu soalan bocor yang akan ditanya oleh malaikat di dalam kubur. Tetapi bukan semua akan dapat menjawabnya. Apakah yang menentukan seseorang itu mampu menjawab soalan-soalan Munkar dan Nakir?

Pertanyaan yang dikemukakan dalam kubur adalah untuk mengkhabarkan tentang akidah yang dianuti seseorang semasa hidupnya. Seseorang itu tidak dapat berdusta atau menyatakan sesuatu yang bercanggah dengan akidah yang dipegangnya. Manusia berhadapan di kubur dengan amalannya sendiri.

Pada hari itu juga, mulut kita terkunci sebaliknya anggota badan akan menjadi saksi segala perbuatan kita semasa di dunia. Ia sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Pada hari itu (akhirat) Kami tutup mulut mereka; kedua tangan mereka memberitahu Kami, dan kaki mereka menjadi saksi terhadap apa yang mereka telah usahakan. (Yasin: 65)

Orang yang diberi taufik oleh Allah SWT akan menjawab dengan fasih soalan-soalan malaikat antaranya Allah tuhanku, Muhammad nabiku, al-Quran imamku, Ibrahim bapaku dan agamanya agamaku.

Manusia yang tidak dapat menjawab sedemikian adalah disebabkan keraguan terhadap Allah di dalam hatinya. Ada yang tidak dapat mengatakan Muhammad nabiku kerana dia meninggalkan sunnah dan tidak mengikut syariat baginda. Ada yang tidak mampu mengatakan al-Quran imamku kerana tidak mengamalkan segala perintah yang terkandung di dalamnya.

Kata Hikmah

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah berfirman: Sesiapa yang memusuhi wali-Ku (orang yang setia kepada-Ku), maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya.

Tiada seorang pun daripada hamba-Ku yang bertaqarrub (beramal) kepada-Ku dengan sesuatu lebih Aku cintai daripada ia menunaikan semua yang Aku fardukan ke atas dirinya.Di samping itu, hendaklah sentiasa bertaqarrub kepada-Ku dengan nawafil (ibadat sunat) sehingga aku mencintainya.

Apabila Aku sudah mencintainya, nescaya jadilah Aku (seolah-olah) sebagai pendengarannya yang ia mendengar dengannya; sebagai penglihatan yang ia melihat dengannya; sebagai tangannya yang ia bertindak dengannya dan sebagai kakinya yang ia berjalan dengannya.

Seandainya ia memohon (sesuatu) daripada-Ku pasti akan Aku terima; dan seandainya (pula) ia memohon perlindungan daripada-Ku pasti Aku akan melindunginya.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Followers

About Me

My photo
Nama Mohammad Faiz Bin Md Nor,Berasal dari Negeri Sembilan,menetap di Seremban,lahir pada 11 march 1988,bersekolah dahulu di Sekolah rendah kebangsaan Senawang,sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar,Tingkatan 6 di Sekolah Menegah Kebangsaan Seri Pagi dan pernah menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang sejarah...